IShowSpeed diminta jauhi jersi England selepas dianggap pembawa malang

PERSONALITI Internet terkenal, IShowSpeed diminta tidak menyokong England pada aksi suku akhir Piala Dunia menentang Norway pada Ahad ini (5 pagi waktu Malaysia) selepas dianggap membawa nasib malang kepada pasukan yang disokongnya sepanjang kejohanan.
Speed atau nama sebenarnya Darren Watkins, menjadi perhatian jutaan peminat apabila melakukan penstriman secara langsung dari stadium dan menghadiri beberapa perlawanan sepanjang Piala Dunia 2026.
Kehadiran terbaharunya adalah ketika aksi dramatik Argentina menewaskan Mesir 3-2 pada pusingan 16 terbaik.
Mesir mendahului 2-0 hasil jaringan Yasser Ibrahim dan Mostafa Ziko sehingga minit ke-79 sebelum Argentina bangkit menerusi Cristian Romero, Lionel Messi dan Enzo Fernandez untuk melakar kemenangan.
Dalam perlawanan itu, Speed memakai jersi Mesir dan mencuri perhatian apabila cuba mengganggu tumpuan Messi ketika bintang Argentina itu mengambil sepakan penalti pada babak pertama yang akhirnya gagal disempurnakan.
Selepas wisel penamat, Speed dilihat menggelengkan kepala tanda kecewa apabila Mesir tersingkir.
Namun, Mesir bukan satu-satunya pasukan yang menerima 'nasib malang' selepas disokong Speed.
Sepanjang kejohanan, pencipta kandungan berusia 21 tahun itu turut dilihat memakai jersi Amerika Syarikat, Austria, Brazil, Ivory Coast, Cape Verde, Senegal dan Portugal, yang disokongnya kerana kekaguman terhadap Cristiano Ronaldo.
Kesemua lapan pasukan itu akhirnya tersingkir daripada kejohanan, sekali gus mencetuskan jenaka dalam kalangan peminat bola sepak bahawa Speed membawa 'sumpahan' kepada pasukan yang disokongnya.
Pencipta kandungan bola sepak, Ben Black kemudian memuat naik video di TikTok yang memaparkan kompilasi Speed memakai jersi setiap pasukan berkenaan sebelum menyaksikan mereka tersingkir.
Menganggap Speed sebagai pembawa malang, Black secara berseloroh menggesa penyokong England menghalangnya daripada memakai jersi Three Lions menjelang aksi suku akhir menentang Norway.
"Jika sesiapa nampak dia memakai jersi England, tanggalkan daripada badannya.
"Jangan benarkan dia memakai jersi England. Kami mahu menjuarai Piala Dunia dan biarlah impian itu tidak dimusnahkan olehnya," katanya.
Sepanjang Piala Dunia 2026, Speed turut menandatangani perjanjian penyiaran bersama FIFA dan Fox Sports yang membolehkannya membuat penstriman secara langsung dari dalam stadium sepanjang kejohanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
