Courtois optimis Belgium mampu tumbangkan Sepanyol

PENJAGA gol Belgium, Thibaut Courtois percaya pasukannya mampu mencipta kejutan apabila berdepan Sepanyol pada aksi suku akhir Piala Dunia awal pagi Sabtu (3 pagi waku Malaysia).
Courtois berkata, keyakinan dalam skuad Red Devils semakin meningkat selepas mereka mula menemui rentak terbaik selepas aksi kurang meyakinkan di peringkat awal kejohanan.
"Semua pemain sedar kami mempunyai peluang. Kami memiliki skuad yang kuat dan kualiti yang mampu menyukarkan Sepanyol.
"Dalam setiap kejohanan pasti ada kejutan dan saya percaya kami boleh menjadi salah satu daripadanya.
"Menyingkirkan juara Eropah sudah tentu satu pencapaian besar," katanya.
Belgium sebelum ini dikritik selepas sekadar seri dengan Mesir (1-1) dan Iran (0-0) di peringkat kumpulan, sebelum bangkit membelasah New Zealand 5-1 untuk muncul juara kumpulan.
Mereka kemudian mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Senegal 3-2 pada pusingan 16 terbaik.
"Ramai kecewa dengan persembahan kami sebelum ini tetapi kami sudah membuktikan kemampuan sebenar. Pasukan ini semakin baik," kata Courtois.
Bagaimanapun, bekas penjaga gol Chelsea itu mengakui Belgium perlu berhati-hati dengan Sepanyol yang terkenal dengan penguasaan bola dan tekanan pantas.
"Sepanyol adalah pasukan pilihan. Mereka sangat bagus ketika menguasai bola dan pantas menekan apabila kehilangannya. Kami perlu bijak mencari ruang di belakang pertahanan mereka," katanya.
Courtois turut memberi amaran mengenai ancaman pemain muda Sepanyol, Lamine Yamal yang disifatkannya mempunyai kemampuan luar biasa dalam situasi satu lawan satu.
"Dia sangat berbakat, pantas dan mampu melepasi lawan dengan mudah. Kami tahu ancaman yang dibawanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

