Kem Belgium ‘perang’ lagi dengan FIFA

BELGIUM sekali lagi membuka pertikaian dengan FIFA apabila mengemukakan aduan berhubung kemudahan latihan yang disediakan menjelang aksi suku akhir Piala Dunia menentang Sepanyol Sabtu ini (3 pagi waktu Malaysia).
Persekutuan Bolasepak Diraja Belgium (RBFA) dilaporkan tidak berpuas hati dengan pusat latihan di Loyola Marymount University, Los Angeles yang dianggap gagal memenuhi standard diperlukan skuad kebangsaan.
Menurut laporan media Belgium, Le Soir, RBFA meminta FIFA menukar lokasi latihan dan mencadangkan kompleks latihan kelab Major League Soccer (MLS), LA Galaxy sebagai pilihan baharu.
Satu sesi latihan sudah dirancang di kompleks berkenaan, sementara rundingan antara RBFA dan FIFA masih berlangsung bagi menyelesaikan isu terbabit.
Bagaimanapun, aduan terbaharu itu hadir ketika hubungan Belgium dan FIFA masih tegang susulan kontroversi membabitkan penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun.
Belgium sebelum ini berang selepas FIFA membatalkan penggantungan satu perlawanan terhadap Balogun susulan kad merah yang diterimanya ketika menentang Bosnia dan Herzegovina pada pusingan 32 terbaik.
Keputusan itu membolehkan pemain berkenaan diturunkan ketika AS berdepan Belgium, sekali gus mencetuskan bantahan keras daripada RBFA yang menuntut penjelasan daripada badan induk bola sepak dunia itu.
Jurulatih Belgium, Rudi Garcia turut menyuarakan rasa kecewa dengan keputusan berkenaan, malah menyifatkannya sesuatu yang sukar diterima.
Namun, Belgium menjawab kontroversi itu dengan aksi cemerlang apabila membelasah Amerika Syarikat 4-1 untuk mara ke suku akhir.
Kini, isu kemudahan latihan menjadi episod terbaharu dalam pertikaian Belgium-FIFA ketika skuad Red Devils cuba mengekalkan fokus menjelang pertemuan dengan Sepanyol.
Cabaran Belgium bukan mudah apabila berdepan Sepanyol yang hadir dengan rekod tanpa kalah serta belum melepaskan sebarang gol sepanjang lima perlawanan Piala Dunia setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
