MUAR - Seorang lelaki warga emas maut, manakala isterinya cedera setelah ditetak seorang gadis dipercayai mengalami kemurungan, di sebuah rumah di Kampung Parit Kerinchi, Bukit Gambir, Ledang hari ini.
   
Mohd Reduan Haron,73, yang cedera parah di kepala dan bahagian belakang disahkan meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
   
Isterinya Juriah Dimiyati, 61, yang menerima tiga tetakan di bahagian kepala dimasukan ke hospital yang sama dan keadaannya dilapor stabil.
   
Difahami kejadian berlaku pukul 10 pagi, apabila gadis yang berusia 22 tahun itu datang dan menendang pintu rumah pasangan warga emas berkenaan sebelum menjerit mengatakan seorang lelaki mahu merogolnya.
   
Suspek yang berasal dari Kampung Sawah Ring dan tinggal bersama kakaknya di kampung itu sejak tiga hari lepas, kemudian mencapai dua bilah parang dan melibas ke kiri dan kanan sambil menjerit-jerit.

Mohd Reduan cuba merampas parang terbabit namun berjaya dielak suspek yang kemudian bertindak menetak mangsa bertubi-tubi sebelum menyerang isteri mangsa sebelum diselamatkan jiran yang terdengar jeritan mereka.
   
"Sebelum kejadian kami ada terdengar dia menjerit-jerit di rumah kakaknya yang selang tiga buah rumah dari kami," kata Juriah ketika ditemui di hospital.
   
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang Supt Harun Idris mengesahkan kejadian dan berkata suspek ditahan polis tidak lama selepas itu.
   
Suspek dipercayai mengalami kemurungan sejak empat tahun lepas dan tidak pernah mendapat rawatan, katanya ketika dihubungi.
   
Siasatan awal mendapati suspek yang dikurung dalam sebuah bilik di rumah kakaknya berjaya meloloskan diri menerusi tingkap sebelum menuju ke rumah mangsa, katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MUAR - Polis tidak menolak motif cemburu menjadi punca perbalahan antara sepasang suami isteri sebelum lelaki berusia 28 tahun itu maut ditikam pasangannya yang berusia 18 tahun.
  • MUAR - Mahkmah Majistret Muar, hari ini membenarkan tempoh tahanan reman terhadap seorang wanita yang dipercayai menikam suaminya di Taman Pertama Sungai Abong, di sini, semalam.
  • MUAR - Mahkmah Majistret Muar membenarkan tempoh tahanan reman terhadap seorang pelakon dan ahli perniagaan bagi menyiasat kes berkaitan hartanah.
  • MUAR - Kegembiraan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berhasrat menikmati juadah di sebuah restoran di Yong Peng, Batu Pahat, tergendala selepas salah seorang daripada mereka ditimpa kecederaan selepas tangannya tertusuk dengan sebatang besi.
  • MUAR - Nasib tiga waris mangsa kemalangan bas yang terkorban dalam satu tragedi di Pagoh akhir tahun lalu terbela selepas Mahkamah Sesyen Sivil Muar semalam membenarkan tuntutan saman kecuaian yang difailkan terhadap pemandu bas dan syarikat bas bertanggungjawab, kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.