Suri rumah rugi RM128,000 terperdaya tawaran komisen lumayan

KUANTAN - Seorang suri rumah bukan sahaja gagal mendapatkan komisen daripada kerja sambilan dilakukan malah diarah membayar denda kononnya tugasan dibuat tidak menepati arahan.
Wanita berusia 33 itu turut diarah membuat bayaran bagi tugasan baharu sebelum menyedari ditipu sindiket tawaran kerja sambilan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM128,000.
"Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang individu menawarkan kerja sambilan dalam talian.
"Mangsa seterusnya berhubung dengan suspek melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk urusan selanjutnya sebelum diberi tugasan jualan barangan melalui aplikasi dalam talian," katanya.
Zulkiflee berkata, bagaimanapun setelah tugasan selesai, mangsa gagal menerima komisen yang dijanjikan dengan alasan tugasan yang dibuat tidak bertepatan dengan kehendak suspek.
Katanya, suspek juga berjaya memperdaya mangsa sehingga melakukan transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM128,000 untuk tugasan baharu bagi mendapatkan komisen lebih lumayan.
"Mangsa syak ditipu apabila gagal mendapat wang pulangan yang dijanjikan sebelum tampil membuat laporan polis.
"Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Sementara itu katanya, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan modus operandi penipuan dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan akaun di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi dan menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 segera jika menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Ringkasan AI
- Suri rumah ditipu dengan tawaran kerja sambilan dalam talian
- Mangsa rugi RM128,000 selepas terlibat dengan sindiket penipuan
- Tugasan jualan barangan dalam talian tidak membawa kepada komisen yang dijanjikan
- Pembayaran untuk tugasan baharu diminta dengan janji komisen lebih lumayan
- Polis menasihatkan orang ramai supaya peka dengan modus operandi penipuan dalam talian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

