Letupan gas di universiti swasta: Seorang penuntut koma, pendarahan dalam otak

A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penuntut dilaporkan koma dan tidak sedarkan diri selepas terlibat dalam insiden letupan gas di kawasan penyelenggaraan sebuah universiti swasta di Bukit Damansara di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan pendarahan dalam otak dan tengkorak retak.

Menurutnya, mangsa masih belum sedarkan diri dan di bawah pemantauan rapi doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Dua lagi mangsa yang masih dirawat ialah penyelia kontraktor berusia 54 tahun dan pekerja kantin universiti terbabit warga Indonesia berusia 22 tahun.

"Penyelia terbabit berada dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan terdapat serpihan besi di dalam badan sementara tunggu untuk pembedahan di HKL, manakala pekerja kantin itu masih berada di Hospital Sungai Buloh bagi pemantauan serta rawatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, enam mangsa lain bagaimanapun telah dibenarkan keluar setelah menerima rawatan.

Dalam kejadian letupan gas penghawa dingin kira-kira jam 11.40 pagi, Isnin, seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL manakala sembilan lagi cedera.

Fadil dilaporkan berkata, mangsa yang maut berusia 24 tahun di universiti swasta terbabit sedang menjalani Latihan Industri (LI).

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang penuntut koma selepas insiden letupan gas di universiti swasta Bukit Damansara
  • Mangsa berusia 19 tahun alami kecederaan pendarahan dalam otak dan tengkorak retak
  • Masih di bawah pemantauan doktor di Hospital Kuala Lumpur tanpa sedarkan diri
  • Dua lagi mangsa termasuk penyelia kontraktor dan pekerja kantin masih dirawat
  • Seorang lelaki berusia 24 tahun yang menjalani Latihan Industri maut dalam insiden tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!