Penunggang motosikal maut disyaki dilanggar lari

Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan pada Selasa.
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan pada Selasa.
A
A
A

HULU SELANGOR – Seorang jurujual perumahan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Sungai Masin, Batang Kali di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan melibatkan lelaki berusia 23 tahun itu kira-kira jam 8.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Genting Highlands menghala ke Batang Kali sebelum dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

"Polis kini giat mengesan kenderaan yang terlibat bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Nurul Anati Zulkifli di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 

Ringkasan AI

  • Jurujual perumahan maut akibat kemalangan motosikal di Batang Kali
  • Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi
  • Mangsa berusia 23 tahun dipercayai dilanggar lari
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
  • Polis menggesa orang ramai dengan maklumat tampil membantu siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!