KUALA LUMPUR - Seorang warga emas dipenjara 12 bulan dan denda RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, selepas mengaku bersalah dua pertuduhan menipu berhubung urusan pembelian saham Koperasi Pelaburan Pekerja Proton Berhad (Kopro) berjumlah RM350,000, 11 tahun lalu.

Hakim Azman Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismail Basir, 67,  selain dia juga berdepan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, sekiranya gagal membayar jumlah denda ditetapkan.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Azman menasihatkan Ismail agar tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang, kerana ia bukan sahaja menyusahkan dirinya, malah menyebabkan kegusaran banyak pihak lain.

Mengikut pertuduhan, Ismail didakwa membabitkan diri dalam penipuan  pembelian saham Proton Holdings Berhad sehingga menyebabkan Kopro menyerahkan wang berjumlah RM350,000 melalui tiga cek Affin Islamic Bank Berhad bagi tujuan pembelian saham berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kopro, kawasan Perindustrian Hicom Batu 3, Shah Alam, antara 7 Ogos 2007 dan 21 November 2008 mengikut Seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 182 akta sama serta Seksyen 87A(b) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

Kedua-dua akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti, Zul’Aida Zulkifli memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kesalahan dilakukan serius, dengan mengambil kira peningkatan kes penipuan melibatkan urusan pembelian saham, yang boleh memberi kesan terhadap integriti pasaran modal.

Sementara itu, Ismail yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dan berjalan serentak, kerana telah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.

Mengikut fakta kes, Ismail berjaya mempengaruhi Kopro menerusi satu taklimat sehingga lembaga pengarah Kopro telah meluluskan resolusi bagi beberapa perkara, antaranya membuka satu akaun perdagangan saham di PM Securities dan melantiknya sebagai remisier.

Sementara itu, antara 7 Ogos 2007 dan 28 November 2008, Kopro telah menyerahkan tiga cek berjumlah RM350,000 kepada Ismail yang tidak pernah dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk bergiat dalam aktiviti berkaitan pasaran modal, bagi tujuan pelaburan.

Namun selepas menerima cek-cek tersebut, tertuduh tidak mendepositkannya ke dalam akaun perdagangan Kopro, sebaliknya telah mendepositkan semua cek berkenaan ke dalam akaun perdagangan adik iparnya, Xavier Amin anak Ubong di PM Securities.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Padah merompak dan melarikan kereta jenis Proton Waja milik seorang wanita, seorang ketua geng dikenali sebagai Harry Gunong dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini kerana mencederakan isterinya dengan periuk tanah liat gara-gara wanita itu tidak mahu memberinya wang untuk membeli minuman keras.
  • JERANTUT - Seorang lelaki warganegara Kemboja mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atas lima pertuduhan yang dibicarakan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
  • KOTA BHARU - Tindakan seorang anggota tentera merogol seorang remaja berusia 18 tahun dua tahun lalu membawa padah, apabila dia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.