Wanita warga emas maut dihempap pokok tumbang

Seorang warga emas maut dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang di Pulai pada Jumaat. Foto media sosial
Seorang warga emas maut dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang di Pulai pada Jumaat. Foto media sosial
A
A
A

BALING - Seorang wanita warga emas maut akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang di Pulai di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mangsa dikenali sebagai Rafiah Zakaria, 86, dari kawasan perumahan hadapan Sekolah Kebangsaan Pulai, Kupang dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, hujan lebat dan angin kencang berlaku sekitar jam 3 petang di beberapa kawasan bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Baling yang mana hujan berterusan sehingga jam 3.40 petang.

"Kira-kira jam 3.45 petang, Balai Polis Kupang menerima maklumat kejadian membabitkan seorang mangsa yang telah dihempap pokok tumbang berhampiran kawasan rumahnya," katanya.

Jelas beliau, pegawai bertugas dan penolong pegawai bertugas telah dimaklumkan dan melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

"Pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dimaklumkan dan bergegas ke lokasi.

"Usaha mengeluarkan mangsa telah dibuat dengan kerja-kerja pemotongan pokok dilakukan.

"Pemeriksaan kakitangan KKM ke atas mangsa bagaimanapun mengesahkan warga emas tersebut telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!