Lelaki ditahan edar dadah di perairan Gambang

Sebuah bot fiber berjaya dirampas selepas penahanan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. Foto Polis Pahang
Sebuah bot fiber berjaya dirampas selepas penahanan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. Foto Polis Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki ditahan di kawasan perairan Gambang, di sini selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek berusia 48 tahun itu diberkas dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Kuantan di Sungai Belat pada Selasa lalu.

"Hasil operasi, pasukan serbuan berjaya merampas 1,710 biji pil Yaba dianggarkan bernilai RM31,650. Selain itu, sebuah bot jenis Fiber dan sebuah kereta jenis Toyota Hilux turut dirampas.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu sehingga 30 April bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau memaklumkan hasil ujian saringan awal polis terhadap suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, suspek juga mempunyai 15 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, sebarang maklumat kegiatan atau aktiviti dadah boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 09 5051999/2202 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!