'Saya mohon maaf kepada keluarga mangsa, anggota tentera' - Saifuddin Shafik

Muhammad Saifuddin mengaku kesal dan membuat permohonan maaf terbuka di Mahkamah Sesyen Taiping pada Jumaat.
Muhammad Saifuddin mengaku kesal dan membuat permohonan maaf terbuka di Mahkamah Sesyen Taiping pada Jumaat.
A
A
A

TAIPING - [DIKEMAS KINI] "Secara tulus ikhlas, saya mohon maaf kepada semua ahli keluarga mangsa dan anggota tentera," pinta Muhammad Saifuddin Shafik, 36, kepada Mahkamah Sesyen Taiping kerana membuat hantaran jelik mengenai korban nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Peniaga dalam talian itu membuat permohonan maaf secara terbuka selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim pada Jumaat.

Menurutnya, hantaran itu tidak sewajarnya dilakukan oleh sesiapapun dalam keadaan tragedi seperti itu.

"Saya memang amat menyesal dengan tingkah laku saya. Di sini saya (juga) ingin memohon maaf secara tulus ikhlas kepada mana-mana orang awam dan seluruh rakyat Malaysia amnya yang terkesan dengan 'posting' saya," katanya.

Dalam prosiding itu, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM23,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar.

Tertuduh bagaimanapun telah membayar denda berkenaan.

Muhammad Saifuddin ditemani peguamnya hadir ke Mahkamah Sesyen Taiping atas pertuduhan membuat hantaran jelik mengenai korban nahas helikopter TLDM.
Muhammad Saifuddin ditemani peguamnya hadir ke Mahkamah Sesyen Taiping atas pertuduhan membuat hantaran jelik mengenai korban nahas helikopter TLDM.

Sementara itu di luar mahkamah, Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Amin Othman yang mewakili tertuduh memberitahu, anak guamnya turut membuat aku janji di mahkamah akan menyahaktifkan akaun X bagi mengelak perkara sama berulang di masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Beliau telah mengambil ikhtibar dan pengajaran. Jadi anak guam saya memohon suatu penutupan ke atas kemelut dan isu ini," katanya.

Dalam nahas jam 9.32 pagi pada Selasa itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang berlangsung Sabtu ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!