KUALA TERENGGANU - Lima kapal ronda Kelas Sipadan milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diserahkan kepada Jabatan Taman Laut Malaysia untuk dijadikan tukun tiruan di pulau-pulau terpilih di negara ini.
    
Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM, Laksamana Madya  Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata lima kapal terbabit ialah KM Siamil, KM Sempadi, KM Bidong, KM Jarak dan KM Ligitan yang bakal ditenggelamkan di Pulau Perhentian dan Pulau Redang, di Terengganu, Pulau Payar, Langkawi dan Mersing, Johor.
    
Katanya kesemua kapal berkenaan sebelum ini telah digunakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diserahkan kepada APMM pada 2005 untuk tugas penguatkuasaan.
    
"Secara keseluruhannya kapal ronda itu telah berada di lautan selama 46 tahun sebelum diserahkan kepada Jabatan Taman Laut Malaysia untuk dijadian tukun tiruan dan kesemua kapal tersebut juga sudah tamat tempoh khidmatnya.
    
Justeru kita serahkan kapal ini kepada Jabatan Taman Laut Malaysia untuk dimanfaatkan kepada masyarakat khususnya para nelayan tempatan untuk dijadian tukun tiruan,"katanya selepas majlis penyerahan lima kapal itu kepada Jabatan Taman Laut Malaysia di Pejabat APMM Daerah Maritim Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Ahmad Puzi berkata projek kerjasama APMM dengan Jabatan Taman Laut Malaysia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu banyak memberi manfaatnya kepada penduduk tempatan pulau, operator pelancongan dan penyelam scuba.
    
Beliau berkata langkah yang dilakukan ini juga dapat membantu meningkatkan pendapatan nelayan kerana kapal ini akan berubah menjadi suatu habitat yang sesuai untuk perlindungan, pembiakan dan tempat mencari makanan kepada sebahagian besar spesis ikan dan habitat di laut.
    
Dalam pada itu Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia Kamarruddin Ibrahim berkata sebelum ini pihaknya telah menerima dua buah kapal APMM untuk dijadikan tukun tiruan di Pulau Tioman, Pahang dan Labuan.
    
Katanya dengan wujudnya lebih banyak tukun tiruan di dasar laut ia juga dapat menarik pelancong terutama penyelam yang melakukan aktiviti selam scuba di kapal karam di taman laut di negara ini.
    
"Sebagai contoh, kapal APMM yang dijadikan tukun tiruan kini menjadi tarikan baru di Taman Laut Pulau Tioman apabila berjaya menarik kedatangan pelancong seramai 7,200 orang tahun lalu," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA TINGGI - Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) merancang untuk melapor tindakan nelayan Vietnam menceroboh perairan negara kepada masyarakat antarabangsa, kata Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar.
  • LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 Lumut mengesan sebanyak 274 kes pelbagai kesalahan membabitkan bot nelayan tempatan dan asing sejak tahun 2013.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.