KUALA LUMPUR - Tujuh lelaki warga Filipina disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) ditahan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, pada 14 September lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata kesemua suspek berumur antara 22 hingga 38 tahun itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa syarikat swasta ditahan anggota Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata mereka ditahan susulan penangkapan 19 lelaki yang merancang melakukan serangan ketika upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan perbarisan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka pada 30 Ogos lepas.

"Seorang suspek berumur 22 tahun itu merupakan anggota ASG yang pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera Filipina serta aktiviti penculikan di selatan Filipina," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Fuzi berkata kesemua suspek memasuki negara ini melalui Sandakan, Sabah pada September 2015 sebelum ke ibu negara menggunakan dokumen perjalanan palsu.

"PDRM akan terus mempergiatkan usaha mengesan dan menangkap pengganas asing yang menyusup masuk ke negara sama ada berlindung, mengumpul dana, melancarkan serangan atau menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi mereka bagi merancang serangan ke atas negara ketiga," katanya.

Mohamad Fuzi berkata kesemua mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Kanun  Keseksaan Bab VIA iaitu kesalahan berkaitan keganasan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Beliau berkata 41 warganegara asing yang dikategorikan sebagai Pejuang Pengganas Asing telah  ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM sejak awal tahun ini. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memandang ringan dakwaan terdapat rancangan Abu Sayyaf yang hendak melakukan penculikan besar-besaran di perairan Sabah.
  • KOTA KINABALU - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan mengkaji keperluan meminta kerajaan Filipina mengekstradisi beberapa anggota Abu Sayyaf untuk dihadapkan ke mahkamah di sini atas pertuduhan menculik di negara ini.
  • TAWAU - Dua lagi rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf dan dibebaskan pada 23 Mac lalu selamat tiba di Lapangan Terbang Tawau hari ini.
  • TAWAU - Penantian lapan bulan Hariyanti Amsi, 31, yang menunggu suaminya Mohd Ridzuan Ismail, 33, diselamatkan selepas diculik Abu Sayyaf pada Julai tahun lepas, berakhir dengan kegembiraan apabila diselamatkan pasukan keselamatan Filipina, tengah malam tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.