[VIDEO] Mahkamah tolak permohonan pekebun durian musang king

A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 186 pekebun durian musang king di Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka sebelum ini.

Selain itu, mahkamah turut menolak semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan Pahang yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Hakim Datuk Mohd Radzi Harun memutuskan perkara itu dalam prosiding yang berlangsung pada Rabu.

---

Pasukan peguam mewakili enam responden daripada kerajaan Pahang dan syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.
Pasukan peguam mewakili enam responden daripada kerajaan Pahang dan syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Beliau dalam penghakiman berkata, mahkamah mendapati pekebun yang terlibat disifatkan sebagai penceroboh di tanah berkenaan.

Katanya, sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman itu.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan pertimbangan, saya dapati keputusan pentadbiran tanah daerah Raub dan keputusan Pengarah Perhutanan Pahang mengeluarkan notis pengusiran ke atas tanah milik responden adalah tidak tercemar dengan sebarang kecacatan undang-undang, ketidakrasionalan atau niat jahat.

"Sebaliknya, keputusan itu sepenuhnya mematuhi keperluan undang-undang yang berkenaan. Justeru, saya menolak semua perintah yang dimohon oleh semua plaintif dalam kedua-dua permohonan semakan mereka dengan kos," katanya.

Pada prosiding itu, responden diwakili Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Datuk Saiful Edris Zainuddin, Dorah Abdul Kadir, Abdul Hafiz Razat, Fatin Nur Syahirah, Tan Sri Cecil Abraham, Noor Muzalifah Shabudin, Mohd Irwan Ismail dan Yap Jing Wen.

Plaintif pula diwakili peguam Siew Choon Jern, Chen Chiu Hua dan Lim Pit Feng.

Mahkamah juga memutuskan supaya plaintif menjelaskan kos sebanyak RM600,000 kepada kesemua responden.

Sementara itu, Saiful Edris berkata, dalam prosiding itu, mahkamah memaklumkan plaintif tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk berada di tanah berkenaan.

Jelasnya, mahkamah juga mengesahkan status mereka sebagai penceroboh dan tindakan kerajaan tidak berniat jahat.

"Pelan pemutihan yang ditawarkan juga tidak ada unsur berat sebelah dan masih boleh dirunding dengan pihak-pihak terlibat," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuantan.

Pada 2020, pekebun terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang telah ditanam pokok durian musang king di sekitar Raub, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

Seramai 186 pekebun memfailkan permohonan dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Selain menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!