PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menemui satu tompokan minyak yang panjang 100 batu nautika dari pesisir pantai Tok Bali.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Datuk Mohd Amdan Kurish berkata sebuah kapal peronda milik Maritim sudah diarah mengambil sampel minyak itu.

"Sampel itu diambil untuk kita analisis sama ada minyak yang tumpah itu ialah milik pesawat MH370 atau ia milik kapal-kapal yang menggunakan perairan itu," katanya dalam sidang akhbar Misi Pencarian Kehilangan Pesawat MAS di Pejabat Daerah Maritim Tok Bali di sini.

Beliau berkata Maritim memberi tumpuan dalam misi itu dengan mengikut jalan udara yang dilalui MH370 dan meninjau sehingga ke kawasan di mana kali terakhir pesawat berkenaan dikesan.
 
Pesawat MH370, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang dalam perjalanan ke Beijing dan usaha mencarinya sedang dilakukan.  

Mohd Amdan juga berkata pihaknya mengarahkan helikopter AW139 milik Maritim untuk meninjau perairan Malaysia 90 batu nautika dan ke bawah menuju pesisir pantai Tok Bali bagi memastikan tiada kawasan yang terlepas.

Beliau berkata Maritim kini mencari petunjuk jika pesawat itu benar-benar terhempas di dalam perairan Malaysia di Laut China Selatan.

"Jika benar pesawat itu terhempas ke laut, sudah pasti kita akan menemui beg-beg pakaian dan serpihan-serpihan pesawat yang akan terapung," katanya.

Mohd Amdan juga berkata Maritim akan menemu bual nelayan yang berpangkalan di Kelantan dan Terengganu bagi meneruskan misi dalam usaha mencari MH370.

Beliau berkata nelayan merupakan satu daripada sumber maklumat Maritim bagi mengesan pesawat itu, yang dipercayai hilang di perairan Laut China Selatan.   

"Kita akan kerahkan pegawai kita temu bual mulai hari ini kerana nelayan-nelayan mungkin berada di perairan sewaktu kejadian itu berlaku. Kejadian berlaku di awal pagi dan berkemungkinan nelayan berada di laut pada waktu itu," katanya.

Ditanya sama ada Maritim akan menambah bilangan aset dalam misi pencarian ini, Mohd Amdan berkata pihaknya telahpun memaksimumkan penggunaan aset milik agensi berkenaan.

Maritim turut dibantu enam kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dua kapal milik kerajaan Singapura, katanya.

Beliau berkata Maritim telahpun memantau 100 peratus kawasan perairan Malaysia di Laut China Selatan pada hari kedua misi mencari pesawat yang hilang itu.

Bagaimanapun, Mohd Amdan tidak menolak kemungkinan MH370 terhempas di kawasan perairan Vietnam berikutan laporan penemuan tompokan minyak oleh pihak operasi Vietnam. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LABUAN - Berfikiran positif dan tidak panik antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zul Helmie Zainuddin mendaratkan Hercules C130 tanpa gear pendaratan di Lapangan Terbang Labuan di sini semalam.
  • JASIN - Pesawat ringan jenis GT500 Microlight yang terhempas di Sungai Mati di sempadan Melaka dan Johor di sini awal bulan ini dikeluarkan dari lokasi kejadian pagi tadi.
  • MELAKA - Kerajaan negeri menggesa dan memberi tempoh selama dua minggu kepada pihak berkaitan untuk mengeluarkan segera bangkai pesawat Microlight GT-500 yang tenggelam di dasar Sungai Mati di sempadan Melaka dan Johor, Sabtu lalu.
  • ISKANDAR PUTERI - Polis mengesahkan pesawat ringan GT 500 yang terhempas berlaku dalam kawasan Johor bersempadan Melaka, di sini hari ini.
  • JASIN - Seorang juruterbang maut manakala pembantunya cedera apabila pesawat ringan GT 500 dikendali mereka terhempas ke dalam Sungai Mati di sempadan antara Melaka dan Johor di sini hari ini.