PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
    
Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang tinggal di Dengkil, Selangor, disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada pukul 9.20 pagi.
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi.
    
"Tembakan itu mengenai bahagian leher ke atas dan Shaharuddin dikejarkan ke Hospital Putrajaya oleh pemandunya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kejadian.
    
Ku berkata siasatan polis mendapati Shaharuddin ditembak menggunakan pistol automatik.
    
Polis akan meneliti kesemua bahan bukti termasuk kamera litar tertutup di kawasan itu, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR GUDANG - Sistem Kastam Baru akan dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun depan di semua pelabuhan utama seluruh negara bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK).
  • BANTING - Seorang pemilik bengkel lori berdepan detik cemas selepas tiba-tiba didatangi lelaki bertopeng yang melepaskan satu das tembakan.
  • JOHOR BAHRU - Orang ramai dinasihatkan berwaspada sekiranya didatangi mana-mana individu yang mengaku pegawai kastam untuk mengutip cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
  • MELAKA - Dua penjenayah disyaki warga asing ditembak mati selepas salah seorang daripada mereka melepaskan dua tembakan ke arah anggota polis dalam Operasi Tebuk di luar Pasaraya Epal Awana di Bandar Baru Sungai Udang di sini, pagi tadi.
  • LAHAD DATU - Pasukan keselamatan menembak mati seorang suspek dipercayai anggota Kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dalam insiden berbalas tembakan di perairan Pulau Kantong Kalungan, di kawasan Laut Silam di sini, awal hari ini.