KEMAMAN - Lapan buah kereta tertimbus apabila tebing jalan masuk utama Jabor-Jerangau ke Jalan Air Puteh di kilometer 139 di sini runtuh, berikutan hujan lebat berterusan di kawasan itu, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Che Suza Che Hitam berkata tebing jalan setinggi 12 meter itu runtuh kira-kira 3.30 pagi ini lalu menghempap kenderaan-kenderaan terbabit yang diletakkan di kawasan berkenaan.

"Kita khuatir kemungkinan ada orang yang tidur di dalam kereta yang tertimbus itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Che Suza berkata jalan itu tertimbus sepanjang kira-kira 50 meter dan pihaknya telah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membantu kerja-kerja membersihkan kawasan yang tertimbus menggunakan jentolak.

Katanya kejadian itu berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan pergerakan tanah di kawasan itu.- Bernama