KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dan  Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini menjalinkan kerjasama memupuk kesedaran keburukan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan masyarakat  menerusi kempen pencegahan rasuah melalui pengangkutan awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pada peringkat permulaan sebanyak dua koc Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya akan ditampal iklan memaparkan mesej antirasuah pada tren berkenaan.

"Luaran gerabaknya dilitupi dengan amaran daripada SPRM tetapi di dalam tren lebih lembut mesejnya dengan informasi mengenai SPRM dan kesan natijah perangkap rasuah kepada diri dan keluarga.

"Saya dimaklumkan bahawa pengguna tren di laluan Kelana Jaya ini boleh mencapai sehingga 250,000 orang sehari dan mereka akan membaca atau sekurang-kurangnya melihat paparan kempen SPRM ketika menaiki tren," katanya selepas merasmikan kempen itu di stesen LRT Bangsar, di sini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif  Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz.

Dzulkifli juga yakin bahawa inisiatif berkenaan adalah kaedah yang realistik, berkesan dan mudah untuk menyebarkan mesej antirasuah kepada rakyat.

Selain itu, SPRM dan Prasarana akan menyediakan pelbagai panel maklumat yang mengandungi bahan mengenai cara melaporkan jenayah rasuah, Akta Perlindungan Saksi dan kesan perangkap rasuah terhadap diri serta keluarga.

Dalam pada itu, Dzulkifli berkata SPRM yang menyambut hari ulang tahun ke-50 pada 1 Oktober ini di Putrajaya akan mengadakan beberapa acara sambutan antaranya karnival Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Ahad ini.

"Turut diadakan pada Isnin depan (18 Sept) sehingga 1 Oktober depan adalah Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar 2017) yang menyaksikan kepimpinan tertinggi dan pegawai SPRM berkonvoi ke seluruh negara dengan bas diiringi 40 penunggang motosikal berkuasa tinggi," katanya.

SPRM turut melancarkan logo sambutan 50 tahun itu denga tema 'Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah' yang memaparkan angka 50 dengan latar belakang warna hitam dan emas. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Tempoh reman lima hari seorang penyelesai yang disiasat berhubung isu jual beli tanah di Kampung Serampang Indah, Jempol, Negeri Sembilan yang dahulunya dikenali sebagai Ladang Gatco yang berakhir hari ini dilanjutkan empat hari lagi.
  • KUALA NERUS - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak cenderung mengambil tindakan terhadap individu daripada parti politik tertentu, sebaliknya setiap siasatan yang dibuat adalah profesional dan adil.
  • SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, semalam di pejabat ahli parlimen itu di Kota Damansara.
  • PUTRAJAYA - Ketua Eksekutif sebuah perbadanan bergelar Datuk dan dua individu lain yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM40 juta dibebaskan hari ini.
  • JOHOR BAHRU - Kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dilihat semakin meningkat berikutan peningkatan pemberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.