KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan tidak akan melindungi mana-mana individu termasuk ahli keluarganya sekiranya terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"Saya akan beri kerjasama penuh dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sama sekali tidak akan bersekongkol dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Ramai yang kenal saya dan ahli keluarga saya. Kalau mereka melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang, mereka kena jawab," katanya dalam sidang media selepas melancarkan  Ops Selamat 11/2017 sempena Hari Raya Aidilfitri 2017 di Menara TM di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan portal Sarawak Report tentang K Gopinathan iaitu suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram di sekitar Melaka mempunyai kaitan dengan Khalid serta ahli keluarganya.

Portal itu turut memaparkan rekod panggilan telefon yang dibuat oleh Gopinathan kepada Khalid serta anaknya Khairul Amri.

Mengulas sama ada beliau mengenali Gopinathan yang kini sedang disiasat oleh SPRM, Khalid mengakui perkara itu.

"Saya serta ahli keluarga mengenali Gopinathan namun tidak mengetahui pembabitannya dalam kes itu.

"Apa yang saya tahu mungkin Sarawak Report mempunyai niat yang tidak baik terhadap saya, organisasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kerana banyak tohmahan serta tuduhan dibuat oleh mereka sebelum ini," katanya.

Tambahnya, pihak polis akan memberi kerjasama penuh dengan SPRM berhubung kegiatan judi haram dan rumah urut di Melaka.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan terhadap editor dan pengasas portal Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown agar tampil mengemukakan bukti dakwaan yang dibuat dalam pelbagai isu.

"Kalau apa yang dicakapkan betul, datang dan buktikan apa juga tohmahan dan tuduhan. Tampillah ke depan dan beri dokumen-dokumem sebagai bukti. Ini macam 'pukul curi'. Kalau betul, boleh tampil," katanya.

Dalam kes yang lain, mengenai penemuan wang sebanyak US$120,000 dalam pemilikan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam ketika pembunuhannya, Khalid mengesahkan penemuan itu.

Bagaimanapun beliau enggan mengesahkan jumlah wang itu kerana bimbang ia diputar-belit dan ditokok-tambah oleh media asing.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dilihat semakin meningkat berikutan peningkatan pemberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini.
  • PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas empat individu termasuk seorang ketua eksekutif bergelar 'Datuk' yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu berkaitan kes penyelewengan dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta.
  • KUALA LUMPUR - Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) baru menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar, sebentar tadi.
  • SHAH ALAM - Rakyat negara ini perlu memahatkan semangat patriotisme yang tinggi dan tidak goyah dengan ketamakan duniawi serta terjerumus ke dalam kancah jenayah rasuah serta salah guna kuasa.
  • GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengesahkan belum menerima surat rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung permohonan maaf terhadap kenyataannya yang dibuat Khamis lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.