IPOH - Remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui mati lemas di Sungai Perak berhampiran Kampung Kuala Rui, Gerik hari ini.

Mayat Shum Zu Zian ditemui unit penyelam Polis Marin pada pukul 7 pagi kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Manab Baharum berkata remaja lelaki itu dilapor hilang selepas dibawa arus deras sungai itu ketika mandi bersama seorang rakannya pada pukul 3 petang semalam.

"Mayat dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata rakan remaja itu berjaya diselamatkan penduduk kampung berhampiran. - Bernama