SEPANG - Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gempar seketika petang semalam selepas muncul seorang lelaki yang mendakwa sebagai 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' yang kononnya mampu membuat ramalan lokasi pesawat MH370 yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80, yang berpengalaman lebih 50 tahun mendakwa, berdasarkan upacara yang dilakukan selama 30 minit itu, beliau mendapat alamat  bahawa kesemua penumpang pesawat terbabit dipercayai masih berada dalam keadaan selamat di satu lokasi tertentu terletak antara Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara asing yang tidak dapat dipastikan.

“Saya nampak pesawat itu 'masih tergantung di ruang udara', di tengah -tengah ketiga-tiga lokasi terbabit.

“Saya tak dapat jelaskan secara terperinci soal keselamatan mereka tetapi percaya pesawat itu mungkin berada dalam  dua keadaan sama ada diculik oleh pihak tertentu atau disembunyikan di alam ghaib”, katanya. semalam.

Upacara ritual menggunakan peralatan khas iaitu teropong buluh serta bubu mata pancing sebagai simbolik untuk memperoleh alamat terkini berhubung keadaan pesawat terbabit.

Ibrahim berkata, bubu mata pancing terbabit sebagai simbolik penjara di mana pesawat itu dipercayai berada dalam cengkaman pihak tertentu atau ditawan di alam bunian.

“Kita gunakan teropong sebagai simbolik meminta anasir-anasir terbabit untuk membebaskan pesawat terbabit secepat mungkin.

“Upacara yang kita buat turut menggunakan ayat-ayat suci al-Quran iaitu surah Nabi Yunus dan surah Yassin,”katanya.

Dalam upacara tersebut, Ibrahim turut meminta orang ramai agar meneruskan upacara keagamaan  masing-masing  supaya kesemua penumpang dan anak kapal selamat kembali ke tanah air.

Menurut bomoh yang mendakwa pernah menampar buaya tembaga sehingga mati itu, selain upacara terbabit, seramai 100,000 ahli Persatuan Silat Gayung Ghaib dan Selendang Merah turut melakukan solat hajat serta berdoa semoga pesawat yang hilang ditemui dalam minggu ini.

Katanya, pihaknya sudah melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan dan selebihnya terserah kepada Allah SWT.

Beliau berkata, pihaknya mendapat jemputan daripada seorang pegawai tertinggi negara yang memintanya membantu mencari pesawat tersebut.

Ibrahim sebelum ini mendakwa pernah terlibat dalam membuat ramalan untuk kes antaranya berkaitan kes tragedi Highland Tower serta membatalkan ilmu hitam Mona Fendy agar hakim dapat menjalankan tugas di Mahkamah Temerloh, Pahang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PULAU TIOMAN - Sebuah pesawat ringan yang dinaiki empat individu termasuk seorang juruterbang terhempas di Lapangan Terbang Pulau Tioman sekitar jam 12.51 tengahari tadi.
  • LABUAN - Berfikiran positif dan tidak panik antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zul Helmie Zainuddin mendaratkan Hercules C130 tanpa gear pendaratan di Lapangan Terbang Labuan di sini semalam.
  • JASIN - Pesawat ringan jenis GT500 Microlight yang terhempas di Sungai Mati di sempadan Melaka dan Johor di sini awal bulan ini dikeluarkan dari lokasi kejadian pagi tadi.
  • MELAKA - Kerajaan negeri menggesa dan memberi tempoh selama dua minggu kepada pihak berkaitan untuk mengeluarkan segera bangkai pesawat Microlight GT-500 yang tenggelam di dasar Sungai Mati di sempadan Melaka dan Johor, Sabtu lalu.
  • ISKANDAR PUTERI - Polis mengesahkan pesawat ringan GT 500 yang terhempas berlaku dalam kawasan Johor bersempadan Melaka, di sini hari ini.