Dua perusahaan dikesan terbabit kartel tipu bida projek Lebuhraya CSR - MyCC

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
A
A
A

SHAH ALAM - Dua perusahaan bakal dikenakan penalti kewangan selepas disyaki terlibat dalam kartel tipuan bida bagi tender pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya membabitkan nilai perolehan sebanyak RM285 juta.

Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Idris Harun berkata, keputusan cadangan itu dikeluarkan selepas perusahaan terlibat didapati secara berperingkat telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712)

"Melalui penyiasatan, perusahaan-perusahaan tersebut didapati telah bersetuju untuk terlibat dalam perkongsian maklumat yang diselaraskan dan pakatan dalam penyediaan serta penyerahan bidaan mereka.

"MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam berkaitan Tender CSR," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau bagaimanapun berkata, adalah penting untuk ditekankan bahawa pada peringkat ini, keputusan cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan ia tidak boleh dianggap bahawa perusahaan-perusahaan ini telah melanggar akta 712 secara konklusif.

"Perusahaan-perusahaan ini juga telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan dan mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan itu.

"Mereka juga diminta membentangkan representasi lisan di hadapan MyCC pada tarikh yang akan ditentukan kemudian," katanya.

Idris berkata, MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan.

 

Ringkasan AI

  • Dua perusahaan bakal dikenakan penalti kewangan kerana disyaki terlibat dalam kartel tipuan bida tender pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama
  • Perusahaan terlibat didapati melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010
  • Perusahaan-perusahaan tersebut bersetuju untuk terlibat dalam perkongsian maklumat diselaraskan dan pakatan dalam penyerahan bidaan
  • Keputusan cadangan MyCC merupakan dapatan awal dan bukan pengesahan konklusif pelanggaran akta
  • Perusahaan diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dan lisan sebelum keputusan akhir dibuat oleh MyCC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!