KUANTAN - Polis membuka kertas siasatan berhubung kes wanita berusia 30 tahun yang didakwa membuli seorang warga emas dengan menggunakan pengunci stereng kereta di tempat letak kenderaan, Pusat Transformasi Bandar (UTC) sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan harta benda dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana lakukan ugutan jenayah.

Katanya, kertas siasatan dibuka selepas satu laporan dibuat oleh pegawai polis.

“Pada mulanya kes ini hanya melibatkan kesalahan trafik tetapi apabila video wanita ini membuli tersebar dalam laman sosial sejak semalam kita terpaksa membuka kertas siasatan ekoran laporan polis.

“Kedua-dua mereka yang terlibat akan dipanggil memberi keterangan walaupun warga emas itu beranggapan kes sudah selesai dan dia sudah maafkan wanita itu,” katanya.

Abdul Aziz berkata, walaupun kejadian itu kes terpencil namun kes buli jalanan tidak boleh dibiarkan menjadi budaya kerana  kesalahan itu merupakan sesuatu yang serius.

Beliau meminta orang ramai membiarkan polis untuk menjalankan siasatan ini dan jangan mengeluarkan sebarang kenyataan di laman sosial.

“Kita ada undang-undang dan akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, kejadian di tempat letak kereta UTC Kuantan kira-kira jam 1.10 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika, wanita dari Felda Lepar Utara 8  terbabit memandu keretanya untuk ke tempat membayar letak kereta.

Pesara dari Jalan Kubang Buaya di sini secara tidak sengaja terlanggar belakang kereta dipandu wanita itu.

“Dalam kejadian itu, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan bagaimanapun kenderaan masing-masing tercalar akibat pelanggaran tersebut.

“Tidak puas hati dengan insiden itu, wanita terbabit bertindak menyerang pesara terbabit dan memukul kereta lelaki itu menggunakan besi pengunci stereng seperti rakaman video yang tersiar ,”katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya menjalankan siasatan dan mengeluarkan saman ke atas pesara itu.

“Pesara dari Jalan Kubang Buaya itu juga membuat laporan polis cuma butiran laporan hanya maklumat bahawa dia tidak cedera dan keretanya tidak mengalami kerosakan,” katanya.

Menurutnya, pesara tersebut bagaimanapun tidak mahu membuat laporan polis terhadap kekasaran wanita terbabit walaupun mendakwa wanita itu mencekak baju dan mengetuk keretanya beberapa kali.

“Sebaliknya dia tidak mahu memanjangkan perkara itu dan memaafkan wanita tersebut.

“Kita akan siasat wanita itu kerana perbuatannya kita dapati menjurus  kepada pembuli jalan raya.

Gara-gara Video berdurasi 2 minit 33 saat yang  tersebar di Facebook dan YouTube menjadi viral yang mengundang pelbagai reaksi orang ramai berhubung insiden tersebut.

Rata-rata komen dihantar ke laman sosial mengecam tindakan wanita berusia 30 tahun itu yang dianggap keterlaluan malah ada yang cuba kaitkan insiden itu dengan isu perkauman.

Gambar pemandu kereta jenis Peugeot 208 diedit dan dimuatkan ke laman sosial digambarkan sebagai model pengunci stereng dan samseng.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.