KUALA LUMPUR - Seorang pengurus stor hari ini dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini terhadap pertuduhan menyebar buku 'Allah, Kebebasan dan Cinta' karya penulis kontroversi, Irshad Manji yang bertentangan dengan hukum syarak di kedai buku Borders di The Gardens Mall, Mid Valley.
   
Nik Raina Nik Abdul Aziz, 36, didakwa terhadap pertuduhan menyebarkan dengan cara menjual buku bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta (Keberanian untuk menyelaraskan kebebasan dengan iman) terjemahan buku tulisan Irshad yang bertajuk 'Allah, Liberty and Love' (The courage to reconcile faith and freedom) yang bertentangan dengan hukum syarak.
   
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kedai buku Borders, milik Berjaya Books Sdn Bhd, Lot T-216B, Tingkat 3, The Gardens Mall, Mid Valley City, lebih kurang 8.41 hingga 9.45 malam, 23 Mei lepas.
   
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
   
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh Nik Raina selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan.

Terdahulu peguam Rosli Dahlan yang mewakili Nik Raina memohon supaya pertuduhan yang dihadapi anak guamnya tidak dibacakan di mahkamah dan sekiranya mahkamah membenarkan pertuduhan itu dibaca, peguam itu memohon supaya pengakuan tidak dibuat dan kes ditangguhkan kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan.
   
Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Ibrahim Deris bagaimanapun berkata tertuduh telah dibawa ke mahkamah dan mahkamah mempunyai budi bicara sama ada untuk membenarkan pertuduhan itu dibacakan atau tidak kerana ia bukan bidang kuasa pendakwaan.
   
Hakim Syarie Abdul Walid memerintahkan supaya pertuduhan itu dibaca dan menetapkan 19 Sept untuk sebutan semula kes.
 
Mahkamah turut membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM500 dengan seorang penjamin.
   
Pada 24 Mei lepas, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan penerbitan buku tulisan Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta' dan versi Bahasa Inggeris 'Allah, Liberty and Love' kerana mengelirukan orang awam dan menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan hadis.
   
Irshad, penulis kelahiran Uganda dan memegang kerakyatan Kanada mencetuskan kontroversi kerana menyokong gerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di Malaysia. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Penghantaran pasukan pengaman Malaysia ke Palestin hanya akan dilakukan jika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerlukan pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi pengaman di negara bergolak.
  • KUALA LUMPUR - Seorang anggota tentera dihukum penjara 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol isteri rakannya ketika menumpang tidur di rumah mangsa, tahun lalu.
  • KUALA LUMPUR - KUALA LUMPUR - Seorang penganggur didenda RM10,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Siber di sini, hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri di laman sosial Facebook, pada Oktober tahun lalu.
  • KUALA LUMPUR - Seorang anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didenda RM2,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan menyertai rusuhan sehingga mencederakan seorang pemandu lori di sebuah kondominium, yang videonya tular di laman sosial, awal tahun ini.
  • KUALA LUMPUR - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hadir ke Bukit Aman, hari ini, untuk memberi keterangan berhubung kenyataan yang dikeluarkannya di Twitter.