AUTA:

SEREMBAN - Isnin lalu, heboh dalam laman sosial berkaitan dua pelajar sekolah berusia 16 dan 17 tahun yang ditahan polis bersama sepucuk pistol dipercayai milik mereka.

Dalam serbuan jam 1 petang itu, polis dari Balai Polis Rahang dikatakan menahan dua pelajar sekolah di asrama pelindungan di Gedong Lalang, Ampangan.

Penahanan dua pelajar itu berdasarkan hasil maklumat pengadu yang tidak  mahu mendedahkan namanya.

Polis dikatakan merampas sepucuk pistol berwarna silver dan hitam, Colt 380 Auto Mustang Pocketlite dengan kelopak peluru bersama beberapa butir peluru.

Kedua-dua pelajar terbabit dibawa ke Balai Polis Rahang dan kes disiasat mengikut Seksyen 35 Akta Senjata Api 1960.

FAKTA:

Polis meminta orang ramai berhenti menyebarkan dakwaan berhubung kejadian dua remaja yang dikatakan mencuri pistol di sebuah rumah perlindungan di Ampangan, di sini, Isnin lalu bagi tujuan melakukan jenayah.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, berita yang sudah menjadi viral dalam laman sosial itu tidak tepat.

“Saya ingin perbetulkan fakta kejadian tersebut. Polis mendapati kejadian itu disebabkan kecuaian pengasas pusat perlindungan yang meninggalkan kereta tanpa mematikan enjin.

“Disebabkan itu, ia membuka peluang kepada remaja terbabit mencuri apabila ternampak sebuah beg bimbit yang diletakkan dalam kereta itu,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu hanya kes kecurian biasa kerana pada mulanya suspek mahu mencuri wang.

“Bagaimanapun, mereka tidak sangka terdapat pistol dalam kereta dan mengambilnya. Ia bukan bertujuan melakukan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, semalam.

Jaafar berkata, disebabkan kecuaian itu, polis siasat dan akan mendakwa pemilik senjata berusia 50-an itu di mahkamah.

“Remaja berkenaan bagaimanapun sudah diikat jamin,” katanya yang menjelaskan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 35 Akta Senjata Api 1960.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi akaun Facebook dan disahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), memaklumkan tidak ada kod sekuriti dengan cara memasukkan nombor pin terbalik pernah diwujudkan bagi menjamin keselamatan pengguna mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
  • SHAH ALAM - Baru-baru ini tersebar di laman sosial Facebook yang memaparkan tentang promosi pembiayaan Bank Rakyat untuk membeli mesin penapis air.
  • KOTA BHARU - POLIS Kelantan menafikan gambar kanak-kanak perempuan yang diviralkan di aplikasi WhatsApp sedang meminta sedekah merupakan kanak-kanak dari Malaysia.
  • YAN - [DIKEMASKINI] Pengilang beras tempatan, Sukaramai menjadi mangsa apabila jenama beras berkenaan dikaitkan dengan pengeluaran beras palsu di laman sosial, baru-baru ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.