DUNGUN - Seorang pengawal keselamatan, Anuar Mohd Nor, 45, maut dalam satu nahas jalan raya di kilometer 69 Jalan Jerangau - Jabor berhampiran Bukit Besi di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam, mangsa yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di SMK Jerangau dipercayai dilanggar oleh sebuah Perodua Kancil menyebabkannya tercampak kira-kira 15 meter di atas jalan.

Akibat perlanggaran itu mangsa yang tinggal kampung Paya Lawas, Dendang mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, kemalangan dipercayai membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah motosikal dan dua buah Perodua Kancil.

"Sebuah Perodua Kancil yang datang dari arah sama dipercayai telah melanggar motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang menyebabkan penunggang tercampak.

"Selepas merempuh mangsa, Perodua Kancil tersebut termasuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah lagi kereta yang datang dari arah Jabor.

"Perodua kancil yang merempuh mangsa terus melarikan diri dan setakat ini tidak membuat laporan polis.

"Manakala, pemandu produa kancil yang dipandu seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi hadir ke balai untuk membuat laporan.

"Mayat mangsa di hantar ke Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.

"Pihak polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian dan sesiapa yang berada di tempat kejadian diminta tampil membantu siasatan.

"Kes di siasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengkutan Jalan (APJ) 1987;" katanya.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan enam anak yang berusia 20 hingga 7 tahun.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.