'Jenazah ibu sempurna' - Anak Allahyarham Noor Rahiza

Kembar, Nur Qistina Awliyah (dua dari kiri) dan Nur Qistina Auni (kiri), kedua-duanya 16 tahun anak kepada Nor Rahiza, 39, ketika ditemui media di Unit Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini. Foto Bernama
Kembar, Nur Qistina Awliyah (dua dari kiri) dan Nur Qistina Auni (kiri), kedua-duanya 16 tahun anak kepada Nor Rahiza, 39, ketika ditemui media di Unit Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Anak sulung Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, Nur Qistina Awliyah Mohd Azinor, 16, mendedahkan jenazah ibunya masih sempurna dengan kecederaan di muka selepas proses pengecaman siang tadi.

Pelajar Tingkatan Empat itu memaklumkan hanya rahang di wajah ibunya patah selain itu tiada kecederaan serius lain pada jenazah.

"Rahang mama patah tapi Alhamdulilah jenazah sempurna," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini malam ini.

Nur Qistina Awliyah berkata kali terakhir dia bertemu ibunya pada pagi tadi sebelum pergi ke sekolah yang berhampiran dengan rumah di kuaters dalam Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

"Sejak akhir-akhir ini mama memang sibuk, kadang-kadang balik sampai malam, mama cuma pesan belajar rajin-rajin," katanya sebak.

Bercerita mengenai kenangan bersama arwah, Nur Qistina Awliyah tidak menyangka keterujaan ibunya menyambut lebaran merupakan petanda akhir dia akan meninggalkan mereka sekeluarga

"Masa hari raya lepas, dialah yang paling teruja untuk tangkap gambar. Sampai ayah pun pelik.

"Lepas itu, mama cakap tak mengapalah mungkin ini akan jadi kenangan terakhir boleh simpan buat kenangan," katanya menambah baju raya ibunya akan menjadi kenangan terakhir buat mereka sekeluarga.

Artikel Berkaitan:

Menurut Qistina Awliyah lagi, ini merupakan kali pertama ibunya mengikuti program sempena Sambutan Hari TLDM.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata jenazah ibunya akan dikebumikan di Yan, Kedah.

Noor Rahiza, 39, merupakan seorang daripada 10 mangsa korban nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan suami dan empat anak berusia antara enam hingga 16 tahun. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!