ALOR SETAR - "Saya, anak saya dan beberapa orang jiran berpaut pada tiang rumah saya agar kami tidak ditolak pusaran angin kuat," demikian kata seorang penduduk Kampung Mergong Hilir yang mengalami kejadian angin puting beliung yang melanda beberapa kawasan di Daerah Kota Setar petang semalam.
   
Rohaya Md Saad, 37, kemudiannya mendapati sebahagian besar bumbung rumahnya rosak teruk dan kesemua barangannya seperti perabot dan peralatan elektrik dibasahi air hujan.
   
Beliau berkata, ketika itu beliau bersama anak lelakinya Mohamad Azim Mohd Irwan, 10, sedang berada di dalam rumah dan terdengar teriakan jirannya yang ternampak puting beliung yang sedang berpusar datang dari kawasan sawah padi.
   
Katanya tidak sampai beberapa minit sahaja puting beliung menghampiri kawasaan rumah mereka dan sekali gus mengangkat bumbung rumahnya dan bumbung rumah jirannya.
   
"Buat masa sekarang, kami sekeluarga terpaksa tinggal dalam rumah yang rosak ini sebab kami tidak ada tempat lain untuk tinggal. Malam ini pun kami akan tidur di bahagian hadapan rumah yang bumbungnya tidak rosak," katanya ketika ditemui di rumahnya yang perlu dibaiki segera.
 
Sebanyak enam buah rumah di kampung itu mengalami kerosakan.
   
Dalam kejadian antara 10 hingga 15 minit yang bermula kira-kira pukul 5 petang, keseluruhan 71 buah rumah dan sebuah klinik bidan di kawasan Kota Setar rosak.
   
Kawasan yang terlibat ialah Kampung Mergong Hilir, Kampung Batin, Kampung Sungai Baru, Taman Inang dan Taman Mergong Jaya.
   
Azizan Abdul Rani, 39, pula berkata beliau segera membawa anak dan isterinya keluar dari rumah mereka dan berlindung di rumah jirannya sebaik melihat puting beliung sedang menghala ke rumah mereka.
   
Rumahnya rosak teruk pada bahagian bumbung di ruang tamu dan kesemua barangan termasuk buku sekolah anaknya rosak akibat terkena air hujan.
   
"Saya harap bantuan dapat segera disalurkan kepada kami. Kami memerlukan rumah yang lebih selesa dengan segera kerana hujan lebat sentiasa turun pada waktu petang ketika ini," katanya. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Ribut petir di perairan Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Labuan dijangka berterusan sehingga malam ini.
  • KUALA LUMPUR - Hujan dan ribut petir dijangka melanda kebanyakan negeri terutama pada waktu petang hingga awal malam ini, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
  • KUALA LUMPUR - Hujan dan ribut petir dijangka berlaku di kebanyakan negeri terutama pada waktu petang, hari ini menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
  • KOTA BHARU - "Saya terkejut sebaik sahaja mendongak ke langit dan melihat 'kepala angin' datang dari arah pasaraya Mydin Mall, Kubang Kerian," kata saksi kejadian ribut teruk, pemandu kereta sewa, Abdul Hadi, 40-an.
  • NILAI - Sebanyak 26 buah rumah rosak akibat dilanda ribut bersama hujan lebat di tiga kawasan berasingan di Mantin, kira-kira 20km dari sini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.