PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkaamh Tinggi berhubung hukuman penjara 12 tahun terhadap suri rumah Yim Pek Ha, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan pembantu rumah Indonesianya, Nirmala Bonat, lapan tahun lepas.
    
Keputusan sebulat suara itu dicapai panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Clement Allan Skinner, yang berpendapat tidak ada sebab untuk mahkamah tersebut mengganggu dapatan Mahkamah Tinggi.
   
Bagaimanapun, Hakim Skinner berkata Mahkamah Rayuan mengambil kira fakta perayu sudah menjalani hukuman penjara dua bulan ketika ditahan reman pada 2008. Oleh itu, Yim hanya perlu menjalani tempoh hukuman penjara selama 11 tahun 10 bulan.
   
Sejurus selepas keputusan, Yim, 44, kelihatan menangis dan memeluk suami, anggita keluarga serta rakan yang berada di galeri awam.
   
Dia akan menjalani hukuman di Penjara Kajang mulai hari ini.

Turut menganggotai panel itu ialah Datuk Linton Albert dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim.
   
Yim, 44, berdepan empat pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala di Villa Putera, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.
   
Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala dengan seterika panas serta air panas dan dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
   
Bagaimanapun, dia dibebaskan daripada pertuduhan keempat iaitu mencederakan Nirmala dengan cawan logam.
   
Ketika merayu di Mahkamah Tinggi, hukuman penjara Yim dikurangkan kepada 12 tahun.

Dalam penghakimannya, antara lain, Hakim Skinner berkata Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi menggunakan prinsip yang betul dalam mejatuhkan hukuman, yang disifatkan panel Mahkamah Rayuan sebagai tidak berlebihan.
    
Beliau berkata mahkamah tidak bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa hakim yang mendengar perbicaraan kes itu gagal mengambil kira keterangan pakar perubatan iaitu kecederaan Nirmala boleh dilakukan oleh mangsa sendiri.
    
Katanya, saksi pembelaan itu bergantung kepada andaian semata-mata dan tidak pernah memeriksa mangsa secara fizikal.
    
Mengulas isu lain yang dibangkitkan peguam Yim, panel itu berkata mereka bersetuju dengan hujah Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas bahawa kes pendakwaan tidak terjejas berikutan kegagalan memanggil sepupu Nirmala, Fermina Anunut sebagai saksi.
    
Hakim Skinner juga berkata tidak ada merit dalam hujah pembelaan bahawa pertuduhan terhadap Yim adalah cacat kerana tidak menyatakan dengan tepat bila kesalahan dilakukan.
    
"Serangan dilakukan dalam situasi domestik dan sudah tentulah pengadu tidak dapat mengingati bila kejadian itu berlaku dengan tepat," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Seorang lelaki kekal ditahan di penjara selama diperkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah kerana membunuh pelacur China yang dilangganinya, enam tahun lalu.
  • KUALA LUMPUR - Hasrat seorang pekebun untuk mati syahid dengan menyertai kumpulan pengganas Daesh tidak kesampaian apabila dia akhirnya ditangkap pihak berkuasa dalam satu serbuan di sebuah rumah pada 16 Mac tahun lepas.
  • KOTA BHARU - Seorang buruh binaan dihukum penjara lima tahun di mahkamah sesyen, hari ini, atas dakwaan memiliki pedang berukuran 54 sentimeter bulan lalu.
  • KLANG - Gara-gara menghayun kayu hoki bertujuan menakut-nakutkan individu lain, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Seorang buruh dihukum penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas dua pertuduhan menggunakan dadah dan memiliki dadah yang disorokkan dalam kotak rokok pada Ogos lepas.