• ilustrasi:SINAR HARIAN OLEH: AIMA HASHIM ilustrasi:SINAR HARIAN OLEH: AIMA HASHIM
1 /

ISU yang sedang hangat diperkatakan sekarang terutama di media-media sosial ialah mengenai kehilangan pesawat Malaysian Airlines MH370 yang membawa sebanyak 239 orang termasuk 12 anak kapal dan dua bayi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China malam semalam.

Orang ramai teruja untuk mengetahui perkembangan terkini pesawat itu sehingga mereka melupakan seketika kes membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman lima tahun penjara kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Seawal pagi, mesej melalui aplikasi Whatsapp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima bertalu-talu sama ada info atau maklumat yang disampaikan oleh rakan-rakan dan ada juga yang tertanya-tanya kebenaran berita tersebut.

Dalam Facebook juga pelbagai status yang dipaparkan seolah-olah maklumat yang diperoleh itu benar-benar sahih, malah secara tidak sedar ada yang menyebarkan berita palsu kononnya pesawat itu terhempas, kehabisan minyak, dirampas pengganas dan sebagainya.

Kesan daripada berita yang tidak benar itu dan kekurangan maklumat yang sahih daripada pihak yang bertanggungjawab menyebabkan sebahagian rakyat semakin tertanya-tanya, apa kejadian yang sebenarnya berlaku?

Justeru orang ramai dinasihatkan tidak terus membuat spekulasi atau menyebarkan berita palsu mengenai insiden ini bagi menjaga hati keluarga yang terlibat atau menimbulkan panik di kalangan rakyat.

Lebih menyedihkan ada pula yang mengambil kesempatan menuduh kerajaan kononnya hendak mengalihkan perhatian rakyat daripada isu kes Anwar.

Ketua Pegawai Eksekutif Mas, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pesawat tersebut masih tidak dapat dikesan sejak dilaporkan hilang pada pukul 2.40 pagi tadi selepas dua jam berlepas di kawasan perairan Laut China Selatan sempadan antara Malaysia dan Vietnam.

Terdapat 12 anak kapal dalam pesawat itu di samping  152 dan seorang bayi warganegara China, Malaysia (38), Indonesia (12), Australia (7) dan Perancis (3).

Pesawat itu dikendalikan Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, bersama pegawai kanan, Fariq Ab. Hamid, 27.

Zaharie mempunyai pengalaman sebanyak 18, 365 jam penerbangan dan telah berkhidmat sejak tahun 1981 manakala Fariq mula berkhidmat sejak 2007 dan memiliki jumlah jam penerbangan 2,763.   

Pesawat Boeing 777 yang hilang itu pula berusia 11 tahun 10 bulan

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan kali terakhir pesawat itu berkomunikasi dengan menara kawalan pada pukul 1.30 pagi dan  dikesan pada kedudukan longitud 06 darjah 55 minit 15 saat Utara dan latitud 103 darjah 34 minit 43 saat Timur.

Reuters memetik laporan agensi berita Xinhua berkata hubungan radar dengan pesawat tersebut dikesan hilang ketika di ruang udara dikawal Vietnam.

Pesawat itu dilaporkan tidak memasuki ruang udara China dan tidak melakukan sebarang komunikasi dengan pihak kawalan udara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua pihak mengambil tindakan wajar bagi mengesan pesawat yang masih dilaporkan hilang.

Beliau turut menyatakan kebimbangan dan berdoa bersama ahli-ahli keluarga penumpang yang terlibat agar semuanya selamat.

“Fikiran dan doa saya bersama ahli-ahli keluarga penerbangan MH370. Saya telah minta semua tindakan yang wajar perlu diambil,” kata beliau menerusi Twitternya.

Malaysia juga, katanya, memperluaskan kawasan mencari pesawat itu dengan menambah bilangan aset yang dikerahkan melibatkan sejumlah 15 pesawat.

Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebuah pusat operasi kordinasi ditubuhkan dan diketuaiJabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar.

Beliau berkata, pada masa sama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga akan menggunakan aset mereka untuk melaksanakan operasi itu

Anggota keluarga penumpang pesawat mula berkumpul di bilik Menara Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak awal pagi  dengan wajah suram sambil membawa seribu harapan dan doa.

Keluarga mangsa juga diminta membawa pasport dan diminta berada di KLIA sebelum jam 6 petang. Namun persoalannya ke manakah mereka akan dibawa kerana media tidak dibenar menemu bual mereka.

Selain Malaysia, empat lagi negara iaitu Vietnam, China, Singapura  dan Filipina turut membantu dalam operasi mencari pesawat itu.

Namun sehingga jam 10 malam tadi masih belum ada sebarang berita sahih mengenai kehilangan ini walaupun pelbagai teori yang dikemukakan.

Perdana Menteri sendiri mengesahkan tidak ada sebarang serpihan pesawat MH370 ditemui buat masa ini dan buat masa ini semua maklumat hanya berdasarkan spekulasi.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, sama-samalah kita berdoa agar pesawat tersebut dan penumpang-penumpangnya di dalamnya ditemui dalam keadaan yang selamat.

Namun apa yang perlu diperbaiki ialah penyampaian maklumat yang lebih efisyen daripada pihak yang bertanggungjawab, agar orang ramai tidak terus tertanya-tanya.