KUALA LIPIS -  Penantian selama tiga hari waris pendaki Gunung Tahan, Allahyarham Amir Kamaruzaman Ab Wahab, 35, berakhir apabila anggota polis dan unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat membawa turun mayat berkenaan menggunakan helikopter jam 11 pagi semalam di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini.

Operasi membawa turun mayat arwah yang meninggal dunia dalam perjalanan antara Kem Kor dan Kem Belemut bermula pada jam 10 pagi menggunakan helikopter lalu diterbangkan ke Hospital Kuala Lipis untuk dibedahsiasat pada jam 11.05 semalam.

Arwah Amir Kamaruzaman bersama 23 orang rakan pendaki yang lain dari Lembah Kelang memulakan pendakian Gunung Tahan bermula di Taman Negara Relau, Merapoh di sini pada 11 Februari lepas.

Mangsa dipercayai mengalami sesak nafas serta sakit dada sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke puncak antara Kem Kor dengan Kem Belemut pada aras ketinggian 1,406  meter pada jam 9.30 malam Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata, operasi menurunkan mayat mangsa menggunakan helikopter bermula Khamis, tetapi gagal kerana keadaan cuaca berkabus dan menyukarkan pandangan untuk mengangkat mangsa.

“Kita menyambung operasi mengambil mangsa mulai 10 pagi semalam (kelmarin) sebanyak tiga kali cuba menghampiri lokasi di mana mangsa dan 10 orang rakan dan jurupandu Perhilitan berada tetapi masih gagal kerana cuaca berkabus.

“Syukurlah, pada jam 10 pagi ini (semalam) cuaca kembali cerah di puncak berkenaan sehingga membolehkan operasi mengangkatkan mayat mangsa ke atas pesawat di udara setinggi 20 meter berjalan dengan lancar tanpa halangan,” katanya ketika ditemui di padang SMK Clifford, di sini.

Abdul Razak berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua anggota unit pasukan beruniform dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang turut melaksanakan operasi menyelamat dan membawa turun mayat yang tersadai di lokasi berkenaan hampir tiga hari.

Sementara itu, beliau meminta semua pendaki dan pengusaha pelancongan yang ingin membuat ekspedisi mendaki puncak Tahan supaya benar-benar membuat persiapan rapi khususnya terlebih dahulu menjalani pemeriksaan doktor sebelum melaksanakan kegiatan berkenaan.

“Saya juga ingin  menasihatkan semua pendaki melakukan aktiviti pendakian pada musim panas dan cuaca yang baik selain menyediakan keperluan makanan secukupnya,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibedahsiasat di Hospital semalam dan dibawa pulang ahli keluarga serta rakan rombongan pendaki untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu, Gombak, Selangor, petang semalam.

Sinar Harian semalam menemu bual beberapa rakan mangsa yang setia menunggu mayat beliau di Hospital Kuala Lipis.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Polis akan menyiasat latar belakang mayat yang ditemui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Selasa lalu, susulan disahkan bukan salah seorang anak kapal USS John S McCain oleh Armada Ketujuh Amerika Syarikat (AS).
  • KOTA BHARU - Mayat mangsa lemas, Wan Ahmad Azinuddin Wan Mazlan Ariffin, 14, ditemui pada jam 10.10 pagi tadi di Sungai Baung Kampung Sentosa Badang di sini hari ini.
  • SUNGAI PETANI - Satu janin tanpa kepala ditemui orang awam berdekatan sebuah kilang di Bakar Arang, Sungai Petani dalam kejadian Ahad lebih kurang 4.30 pagi.
  • KUALA LUMPUR - Seorang lelaki tempatan ditemui mati di Sungai Klang berhampiran Flat Seri Cempaka, Pantai Dalam di sini, pagi tadi.
  • TEMERLOH - Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Pahang kelmarin ditemui terapung berhampiran Kampung Batu Bor, Bera dekat sini, hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.