PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, mati ditembak ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Dengkil ke pejabatnya di Putrajaya, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa parah selepas salah seorang daripada suspek yang merupakan pembonceng motosikal melepaskan tiga das tembakan ke arah arwah yang berada di hadapan sebelah kiri tempat duduk penumpang, ketika keretanya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa dikejarkan pemandunya ke Hospital Putrajaya sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi.

"Penjenayah dipercayai menggunakan pistol jenis automatik berikutan tembakan tepat mengenai leher mangsa," katanya.

“Kami masih menyiasat motif kejadian dan sedang meneliti kamera litar tertutup di lokasi kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Roslan Ibrahim, 51, percaya Shaharuddin mungkin mempunyai banyak musuh disebabkan tugasannya dalam jabatan kastam.

“Saya dan Shaharuddin kerap bertemu dan minum bersama dan saya percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kerjanya,” katanya kepada pemberita ketika menemani isteri dan keluarga Allahyarham Shaharuddin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

Kesemua anggota keluarga Shaharuddin hadir di hospital itu untuk menunggu proses bedah siasat.

Roslan berkata, kali terakhir beliau bertemu Allahyarham Ahad lalu dan mereka berbual sambil minum bersama.

“Allahyarham mempunyai lima anak. Dia seorang yang peramah dan tidak sombong serta mempunyai hobi bermain golf. Dia selalu main golf di Seremban,” katanya.


KRONOLOGI

7.55 pagi – Kereta Nissan Murano dinaiki Datuk Shaharuddin Ibrahim bergerak dari rumahnya
di Kondominium Intan, Dengkil untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

8.15 pagi – Kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan ke Presint 2, Putrajaya. Seorang pembonceng motosikal melepaskan tembakan ke arah arwah yang berada di hadapan sebelah kiri tempat duduk penumpang. Pemandu terus bawa mangsa ke Hospital Putrajaya.

9.20 pagi - Mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 20, Putrajaya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Seorang lelaki yang ditembak di hadapan sebuah bank di sini pada minggu lepas, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak dua individu yang sedang membawa wang tunai RM200,000 menggunakan parang serta menyebabkan kecederaan.
  • KOTA BHARU - Seorang lelaki cedera di dua belah lututnya selepas dipercayai ditembak individu dikenalinya dalam kejadian di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran pekan Pengkalan Kubor,Tumpat di sini petang semalam
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.