BENTONG - "Saya minta maaf sebab hanya bergurau di Instagram. Tak sangka ia jadi viral," demikian kata seorang pelawak tanah air yang baru-baru ini dikritik netizen setelah mendedahkan nama anaknya yang berusia empat hari di laman media sosial.

Menerusi gambar yang dimuat naik ke laman sosial tiga hari lepas, Mohd Shah Rizal Sulaiman, 27, atau lebih dikenali sebagai Shah Tapaw meletakkan gambar bayinya bersama sijil kelahiran tertera nama Muhammad Putra Naruto Mohd Shah Rizal.

"Sebenarnya keluarga saya selalu sangat tanya nak letak nama apa kat anak. Saya beritahulah nak letak nama Naruto. Mula-mula memang saya betul-betul nak bagi nama Naruto, tapi lepas tu tak jadi sebab keluarga pun tak setuju. Mereka kata nama tu bawa maksud yang tak elok," katanya kepada Sinar Harian.

Gambar Mohd Shah Rizal bersama anaknya, Muhammad Putra Iyyad.

Menurut Mohd Shah Rizal, selepas pulang daripada mendaftar nama di jabatan pendaftaran, dia mendapat idea untuk memuat naik gambar anaknya dengan sijil kelahiran yang telah diedit di bahagian nama bertujuan untuk bergurau.

"Saya saja buat macam tu untuk usik ahli keluarga, biar mereka ingat saya betul-betul namakan anak saya Muhammad Putra Naruto. Sebenarnya saya namakan anak Muhammad Putra Iyyad. Kalau baca betul-betul kapsyen bawah gambar tu pun boleh tau yang saya sebenarnya bergurau. Takkanlah anak saya boleh jadi Hokage,” katanya.

Tambahnya, dia tidak menyangka gurauannya itu menyebabkan gambar berkenaan tular dan menjadi perbincangan hangat di kalangan netizen.

"Saya minta maaf, saya betul-betul niat nak bergurau. Bukan nak timbulkan apa-apa isu. Terima kasih kepada semua yang telah memberi teguran secara berhemah. Saya amat menghargainya," katanya.

Ditanya adakah Naruto akan menjadi nama timangan buat anak keduanya itu, Mohd Shah Rizal berkata, itu terpulang kepada orang lain namun dia tetap memanggil anaknya sebagai Iyyad.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.