KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menjelaskan kelewatan pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang sepatutnya siap pada 2009 adalah disebabkan perubahan pembinaan daripada lebuh raya persekutuan kepada lebuh raya bertol.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, berikutan perubahan itu kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukkan tambahan RM800 juta untuk membiayai reka bentuk baharu lebuh raya itu seperti pembinaan plaza tol dan hentian rehat dan rawat.

"Peruntukan tambahan itu juga bagi membiayai pengambilalihan tanah yanglebih luas, selain pembinaan komponen-komponen lain dalam lebuh raya bertol dan peningkatan mendadak bahan binaan semasa projek itu dilancarkan.

"Projek ini juga lewat kerana peruntukan tambahan itu dikeluarkan menerusiRancangan Malaysia ke-11 (RMK11), sedangkan pembiayaan asal projek itu dikeluarkan dalam RMK10," katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat Kementerian Kerja Raya berhubung kelewatan dan pertambahan peruntukan projek LPT2 itu, di sini hari ini.

PAC memanggil Kementerian Kerja Raya bagi menjelaskan perkara itu selepasia dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara siri 1 yang dibentangkan di Parlimen April lalu.

Projek LPT2 yang menghubungkan Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu sepanjang 184 kilometer sepatutnya dimulakan pada 2006 dan siap pada 2009 sebelum kelewatan itu menyebabkan ia dimulakan pada 2011 dan dijangka siap September tahun ini.

Skop projek itu dibahagikan kepada dua badan penyelia iaitu Jabatan Kerja Raya yang menguruskan pembinaan 120 kilometer lebuh raya itu dengan kos RM2.09 bilion dan Lembaga Lebuhraya Malaysia sepanjang 64 kilometer dengan kos RM1.5 bilion.

Nur Jazlan berkata, peruntukan tambahan RM800 juta disalurkan kepada skopprojek yang diselia JKR yang menjadikan kos asal iaitu RM2.09 bilion itu meningkat kepada RM2.9 bilion.

"Bagaimanapun daripada jumlah RM2.9 bilion ini pihak kontraktor berjayamembelanjakan di bawah peruntukan itu iaitu RM2.75 bilion dan skop itu telah siap 95 peratus sementara skop LLM sepanjang 64 kilometer pula telah siap sepenuhnya," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARAN - Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas di Kilometer 183, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini pagi tadi.
  • KUALA LUMPUR - Terowong Genting Sempah akan ditutup sementara selama 60 hari mulai jam 8 pagi hingga 5 petang bermula Selasa ini.
  • KUALA LUMPUR - Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan dilaporkan perlahan setakat pukul 12 tengah hari ini.
  • BENTONG - Polis menafikan kejadian simbah minyak yang berlaku di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) atau Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak baru-baru ini seperti yang diviralkan oleh pihak tertentu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna jalan raya.
  • KUALA LUMPUR - Sidang media ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) daripada pembangkang terganggu, selepas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang mengarahkan mereka keluar dari bangunan Parlimen, di sini, hari ini