SUNGAI PETANI - Bapa kepada Mohamad Fandi, 26, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 134, Lebuhraya Utara-Selatan di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Selasa lalu bercadang memfailkan saman terhadap pemandu Proton Gen-2.

Rosli Lin, 57, bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, keluarganya mahu menuntut bela anak sulungnya setelah pemandu Proton Gen-2 dikatakan memandu secara melawan arus, yang menjadi antara punca berlaku kemalangan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, lima cedera kemalangan]

Katanya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan ahli keluarganya termasuk menantunya sebagai pembelaan atas kematian anak sulungnya itu.

“Walaupun kami sekeluarga tidak nafikan kejadian yang menimpa anak kami sebagai takdir tetapi kemalangan yang berlaku bukan biasa, seolah-olah seperti disengajakan. 

"Individu yang bertanggungjawab perlu mendapat hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran kepada pemandu yang lain dan pastikan kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi, kelmarin,  kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu Mohamad Fandi terlibat dalam kemalangan dengan kereta jenis Proton Gen -2 yang  melawan arus dari Tol Sungai Dua menghala ke arah Butterworth.

Akibat rempuhan itu,  kereta Mohamad Fandi dipercayai  terbabas ke kiri jalan sebelum dilanggar sebuah motosikal.

Mohamad Fandi mengalami kecederaan parah dan meninggal  dunia di tempat kejadian manakala lima yang lain cedera dalam kejadian membabitkan empat kereta, sebuah van kilang dan sebuah motosikal.

Sementara itu, gambar perkahwinan pasangan pengantin membasuh pinggan yang pernah tular di media sosial, tahun lalu, kini menjadi kenangan kepada balu Mohamad Fandi, Norasikin Abdul Halim, 26.

Pasangan itu  mendirikan rumah tangga Disember tahun lalu  namun tinggal berasingan atas tuntutan kerja di mana Mohamad Fandi bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang elektronik dekat Seberang Jaya, Pulau Pinang manakala Norasikin bertugas sebagai jururawat di Hospital Selayang, Selangor.

Lebih  memilukan, nahas yang meragut nyawa Mohamad Fandi juga meranap kegembiraan  bakal menyambut kelahiran anak sulung mereka.

Norasikin yang masih bersedih dengan tragedi itu berkata, selepas disah mengandung, dia berhasrat tinggal bersama suaminya dan  telah pun membuat permohonan bertukar  ke klinik swasta berdekatan Kepala Batas, Pulau Pinang, namun masih dalam proses Kementerian Kesihatan.

“Belum sempat bertukar tempat kerja, tak sangka jadi macam ini,” katanya, sebak, ketika ditemui pemberita di rumah mertuanya di Taman Seri Pinang di sini, semalam.

Katanya, kali terakhir arwah menghubunginya  dua hari lalu semata-mata mahu  mengejutkannya dari tidur  sebelum  ke tempat kerja.

“Arwah juga sempat belikan tiket penerbangan untuk saya  pulang ke Sungai Petani pada Khamis ini (hari ini) tetapi dia minta  saya menguruskan sendiri perjalanan pulang ke Kuala Lumpur pada Selasa depan ini.

“Saya tidak tahu permintaannya agar saya uruskan perjalanan sendiri...rupa-rupanya itu petanda suami akan pergi selamanya,” katanya.

Kelmarin, jenazah Mohamad Fandi dikebumikan selepas Asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Asam, di sini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUCHING - Polis Cawangan Trafik IPD Padawan telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kemalangan langgar lari di Batu 17 Jalan Puncak Borneo dekat sini, pada Selasa lepas.
  • MARANG - Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas melanggar lori tangki minyak di Kilometer 12 Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di sini, petang semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.