DUNGUN - Orang ramai diingatkan supaya tidak keliru antara influenza A H1N1 dan (Avian influenza) H5N1 sehingga mendatangkan kebimbangan tidak berasas termasuk mendakwa hidangan ayam menjadi penyebab kepada penyakit H5N1 serta boleh membawa maut.

Kekeliruan dalam kalangan masyarakat timbul susulan banyak penyebaran mengenai kekeliruan antara H1N1 dan H5N1 setelah tersebar berita kematian seorang wanita hamil di negeri ini akibat H1N1.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar berkata, H1N1 adalah flu biasa yang boleh dijangkiti sesiapa sahaja ketika ini dan tidak akan menyebabkan komplikasi kesihatan teruk dan akan pulih dalam tempih beberapa hari.

Menurutnya, hanya empat golongan berisiko ditimpa komplikasi kesihatan apabila dijangkiti H1N1 iaitu wanita hamil, kanak-kanak bawah 12 tahun, warga emas dan pesakit jantung.

"Empat golongan itu sahaja yang berisiki sekiranya menghidap H1N1 dan ia tiada kaitan langsung dengan H5N1.

"Ia tiada kena mengena dengan ayam atau binatang ternakan lain kerana ia virus berlainan yang menyebabkan H5N1.

"Kematian wanita hamil itu juga tiada kaitan dengan H5N1 dan orang ramai tidak perlu risau untuk menjadikan ayam sebagai hidangan," katanya kepada pemberita selepas sidang media mengenai rampasan produk kecantikan di Dungun, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengguna tidak seharusnya membuat andaian sendiri tetapi perlu memahami situasi sebenar dan menolak penyebaran berita tidak berasas.

"Pihak jabatan menerima banyak pertanyaan dari orang ramai mengenai kematian wanita hamil berkenaan.

"Oleh itu, kami nasihatkan supaya jangan keliru dan penyakit H1N1 sememangnya berbeza dengan H5N1.

"Tidak perlu takut untuk membeli atau makan ayam kerana ia tiada kaitan dengan H1N1 atau menjadi punca kematian," katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.