PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan agar masjid dan surau mengadakan solat hajat Jumaat ini bagi mendoakan agar isu Rohingya tidak berpanjangan.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha berkata ia akan diadakan selepas solat Jumaat.

“Jakim mengambil inisiatif melalui masjid-masjid utama Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta seluruh masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan solat hajat pada 15 September ini selepas solat Jumaat.

“Penganjurannya bertujuan untuk mendoakan agar isu Rohingya tidak berpanjangan serta mengambil kesempatan untuk mendoakan kesejahteraan negara kita sempena sambutan Hari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga meminta kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) di seluruh negara untuk turut sama mengadakan solat hajat di masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing.  

Othman berkata ketengangan di Rakhine, Myanmar telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan negara sekitar dan sehingga kini isu tesebut masih belum nampak tanda-tanda perdamaian antara pihak-pihak yang bertelagah.

“Rakyat Malaysia disaran untuk sama-sama terus berdoa agar negara kita sentiasa kekal aman, makmur dan sejahtera,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan lebih 90,000 etnik Muslim Rohingya melarikan diri ke  Bangladesh dan sesetengah daripada mereka terkandas di kawasan pergunungan tanpa bekalan asas.

Kuala Lumpur memandang berat masalah penindasan terhadap etnik Rohingya dan memberi komitmen untuk membantu menangani krisis pelarian kaum itu yang kini dilaporkan mencecah 500,000 orang di Bangladesh iaitu negara jiran Myanmar. - Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Isu yang berkaitan dengan kesahtarafan anak di negara ini hendaklah sentiasa dirujuk kepada peruntukan dalam Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam atau Pentadbiran Negeri-negeri.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat kebangsaan yang dinamakan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).
  • PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak berkompromi dalam aspek integriti sijil halal walaupun proses kelulusan sekarang lebih pantas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
  • KOTA BHARU - Pas menempelak kritikan Datuk Zaid Ibrahim terhadap Jabatan Kamajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu seorang wanita yang menjadikan anjing sebagai binatang peliharaannya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.