KLANG – Dikawal dengan pintu kebal dan hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja.

Namun modus operandi yang digunakan premis perjudian online di kawasan Parkland, Klang itu akhirnya dibongkar dalam Ops Dadu, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan kira-kira jam 12.15 tengah malam itu  membabitkan tujuh pegawai dan 28 anggota telah menyerbu sembilan buah premis.

Menurutnya, seramai 37 individu membabitkan 31 lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan.

“Daripada jumlah itu, 23 orang daripada mereka adalah pelanggan dan selebihnya merupakan penjaga premis.

“Kita turut merampas 175 buah komputer, modem (8 buah), rowter (dua buah) dan wang tunai RM583,” katanya.

Beliau berkata, ketika serbuan kebanyakan premis yang beroperasi sehingga lewat malam ini dijaga rapi oleh ‘ulat’ selain turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan pelanggan serta kehadiran penguatkuasa.

Katanya, hanya pelanggan tetap dan membuat tempahan sahaja dibenarkan masuk dan kebanyakan premis juga turut dilengkapi dengan pintu besi kebal yang sukar dipecahkan.

 “Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, sejak Ops Dadu dijalankan bermula 1 Ogos lalu, sebanyak 160 serbuan telah dilakukan di sekitar bandar Klang, Pandamaran dan Pelabuhan Klang.

"Daripada jumlah itu, kita telah berjaya menahan 193 individu, merampas 1,430 buah komputer dan wang tunai berjumlah RM11,498," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :