KUALA LUMPUR - Kemaluan seorang kanak-kanak bengkak selepas didakwa dipicit guru tadikanya kerana mangsa nakal dan tidak mahu tidur.

Menurut laporan New Straits Times, bapa mangsa yang berusia 23 tahun dan dikenali sebagai Woo mengatakan kejadian berlaku pada 17 November lalu.

Kecederaan mangsa disedari nenek mangsa ketika memandikan mangsa.

"Saya dapat tahu dari ibu saya yang jumpa kesan itu semasa mandikan dia. Dia (mangsa) kata dia dipicit kerana nakal dan tidak mahu tidur seperti yang diminta guru," kata Woo.

Kata Woo lagi, guru yang berusia 30-an berkenaan menafikan tuduhan tersebut pada awalnya dan berjanji untuk memeriksa rakaman kamera CCTV.

"Dia cuma mengaku dan meminta maaf mengenai perbuatannya hanya selepas isteri saya ugut untuk membuat laporan polis," kata Woo dalam satu sidang media di pejabat MCA.

Woo dan isterinya pada mulanya bersetuju untuk tidak melibatkan pihak berkuasa tetapi membuat keputusan sebaliknya selepas pihak tadika melambatkan proses dan tidak mahu bertanggungjawab.

Hasilnya, satu laporan polis dibuat pada 23 November dan mangsa tidak lagi dihantar ke tadika berkenaan.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong memberitahu pasangan terbabit akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak tadika.

Polis pula akan menyiasat kes berkenaan di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

"Kami berharap untuk mendedahkan lebih banyak kes sebegini kerana kami rasa ini cuma permulaan. Mungkin ada banyak kes macam ni yang tidak diadukan. Bulan lepas, kami ada kes lebih kurang sama di mana anaknya didera guru tadika," kata Chong.

Chong menambah, ibu bapa tidak sepatutnya meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak tadika.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :