KEMAMAN - Kerusi lenting pesawat menjadi fokus pencarian pasukan penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di lokasi pesawat pejuang Hawk 108 terhempas di Kampung Yak Yah, di sini, dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, beliau difahamkan pasukan penyiasat menjalankan siasatan di sekitar kawasan nahas bagi mendapatkan kerusi lenting berkenaan.

“Apa yang saya fahamkan mereka menjalankan siasatan untuk mendapatkan kerusi lenting, seterusnya menjalankan siasatan yang telah ditetapkan.

“Proses mengeluarkan bangkai pesawat dan sebagainya juga akan dijalankan pihak TUDM dan mereka mempunyai prosedur tersendiri,” katanya ketika ditemui di pos kawalan operasi di Kampung Yak Yah.

Mengulas lanjut, Mohd Said berkata, dalam operasi berkenaan, pihak polis hanya membantu dari segi kawalan lalu lintas manakala segala bahagian teknikal termasuk siasatan dijalankan oleh pihak TUDM.

Ditanya mengenai tempoh operasi berkenaan, beliau berkata, pihaknya akan terus membantu dari segi kawalan trafik dan kawalan di lokasi nahas selagi diperlukan pihak TUDM.

“Namun selepas ini segala kenyataan kepada pihak media hanya boleh dikeluarkan pihak TUDM sahaja,” katanya.

Pada hari ketiga operasi itu semalam, petugas media juga dilarang memasuki kawasan pos kawalan  operasi.

Tragedi pesawat terhempas tiga hari lalu mengorbankan dua juruterbang TUDM, Mejar Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39.

Pesawat malang itu berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada jam 11 pagi pada Khamis lalu dan terputus hubungan setengah jam kemudian sebelum mayat kedua-dua mangsa berjaya ditemui pada jam 2.30 petang di hutan paya Kampung Yak Yah selepas gerakan SAR dilakukan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMAMAN - Radar pengesan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merakam penuh tragedi nahas pesawat Hawk 108 sehingga ke saat akhir ia terhempas, kata Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.