BESUT  - Seorang eksekutif kilang seramik di Air Hitam, Johor yang sedang bercuti bersama seorang rakan karib di Pulau Perhentian Besar dekat sini ditemui lemas di perairan berdekatan Pantai Tuna Bay di pulau itu tengah hari ini.
   
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata mangsa Hee Chee Yong, 37, lelaki yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu tiba di pulau berkenaan pagi semalam bersama seorang rakan lelakinya Low Chee Seong, 30.
   
"Mangsa dilaporkan telah turun ke kawasan Tuna Bay bersama rakannya untuk mandi manda kira-kira jam 10 pagi.
   
"Ketika sedang asyik mandi manda Hee Chee Yong dilihat tenggelam dalam keadaan tertiarap di satu kawasan kira-kira lima meter dari pantai dengan air sedalam paras pinggang sahaja," katanya. 
   
Beliau berkata mangsa kemudiannya berjaya ditarik ke pantai dan diberikan rawatan kecemasan oleh beberapa pengunjung sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan pulau itu tetapi didapati meninggal dunia sebaik sahaja tiba.
   
Kamaruddin berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ekoran dalam kejadian tersebut.
   
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat dan akan diserahkan kepada anggota keluarga untuk dibawa pulang ke Negeri Sembilan," katanya. - Bernama