KUALA LUMPUR - Seorang buruh yang memukul anak saudara dan adik kandungnya sehingga mereka mengalami kecederaan, hari ini  dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhi hukuman penjara sebulan bagi setiap pertuduhan  terhadap Norazman Abdul Hamid, 52, dan memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak  bermula pada tarikh tangkap 17 Oktober lepas.

Bagi pertuduhan pertama, dia mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan Fatin Aqilah Muhammad Cos, 19, yang bekerja sebagai jurujual,  di bilik mandi di sebuah pangsapuri Taman Keramat, Hulu Langat, pada  8 malam, 16 Oktober lepas.

Lelaki itu turut mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan adik kandungnya yang bekerja di sebuah kilang, Noraini Hamid @ Abdul Hamid, 48, di hadapan pintu masuk rumah yang sama pada masa dan tarikh sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Norazman didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Norazman yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia menanggung dan menjaga kedua-dua mangsa.

“Saya mengaku kesalahan saya, tindakan yang dilakukan adalah di luar jangkaan saya. Saya yang menjaga mereka selepas suami kepada adik saya meninggalkan dia dan anaknya,” katanya.

Bagaimanapun,Timbalan Pendakwa Raya Nor Hashimah Hashim memohon hukuman penjara sebagai pengajaran kerana perbuatan yang dilakukan tertuduh adalah serius sehingga kedua-dua mangsa mengalami kecederaan dan trauma.

“Sepatutnya tertuduh yang melindungi dan bertanggungjawab ke atas kedua-dua mangsa sebaliknya tertuduh sendiri bertindak memukul mangsa,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Norazman telah bertanyakan Fatin Aqilah  di mana botol  air miliknya, dan apabila anak saudaranya itu menjawab tidak tahu, tertuduh terus mendapatkan mangsa yang ketika itu berada di bilik mandi lalu menolak serta memukul kepala sehingga mangsa mengalami bengkak dan lebam di dahi.

Noraini kemudian datang dan cuba memberi bantuan  namun  tertuduh telah menarik rambut adiknya itu sehingga terjatuh dan mengalami lebam serta bengkak pada bahagian siku kirinya.

Kedua-dua  mangsa terus membuat laporan polis.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Tujuh penyokong bola sepak yang ditangkap selepas aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium Perak, 15 Oktober lalu akan dituduh pagi ini di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan, di Mahkamah Sesyen, Ipoh.
  • KUANTAN - Seorang warden penjara Bentong, putus cuping telinga kirinya selepas digigit oleh seorang banduan warga Liberia dalam kejadian di Kompleks Penjara Bentong petang semalam.
  • KUALA LUMPUR - Polis mencari seorang individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pelajar kolej swasta yang cedera selepas dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah pusat siber di Setiawangsa, dekat sini, 3 Ogos lalu.
  • KUALA LUMPUR - Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap murid lelaki berusia 12 tahun, dengan menarik hidungnya menggunakan tapak tangan, dua hari lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.