BANGI - Bekas pengasas Bersatu, Anina Saadudin mengemukakan saman fitnah kepada enam ahli parti itu, berikutan tuduhan fitnah beliau menerima suapan berjumlah RM7 juta daripada Umno.

Katanya, beliau memfailkan saman tersebut setelah berita fitnah berkenaan diwawarkan oleh individu terbabit sejak 3 Ramadhan lalu, dalam beberapa posting di Facebook.

"Akibat fitnah tersebut, ramai beranggapan bahawa saya menerima suapan RM7 juta. Bagaimanapun, saya menunggu sehingga habis Syawal untuk mereka meminta maaf kepada saya.

"Malangnya sehingga habis Syawal, tiada seorang pun daripada mereka meminta maaf kepada saya. Oleh itu, saya telah menghantar aduan berhubung perkara ini ke Jawatankuasa Disiplin Bersatu pada 2 Ogos lalu, tetapi tiada sebarang siasatan dan tindakan diambil," katanya pada sidang media khas di kediamannya di Bangi Golf Resort, di sini, hari ini.

Mahu membersihkan namanya daripada fitnah, Anina telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung fitnah itu, dan juga telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dirinya sendiri.

Bagaimanapun, fitnah itu masih berlegar di media sosial dan masyarakat umum, malah masih berterusan sehingga Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyebut namanya semasa melakukan sidang media pada 2 Oktober lalu.

"Jadi, saya melalui peguam Tetuan Abdul Aziz dan Yasmin telah memfailkan saman fitnah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, terhadap enam individu ahli Bersatu, yang mana empat daripada mereka merupakan barisan kepimpinan Bersatu Langkawi, manakala dua lagi adalah ahli biasa.

"Saya tidak boleh mendedahkan nama enam individu itu kerana mereka belum lagi menerima writ saman daripada mahkamah," katanya.

Ditanya adakah Pengerusi Bersatu yang juga Ketua Bahagian Bersatu Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat dalam penyebaran fitnah itu, Anina menafikan sekeras-kerasnya bahawa Mahathir terlibat dalam fitnah tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Bekas anggota Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin hari ini menarik balik saman pemula yang difailkan terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan dua lagi di Mahkamah Tinggi di sini berhubung pemecatan keanggotaannya dalam Umno, Ogos tahun lepas.
  • PUTRAJAYA - Bekas anggota Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin menarik balik rayuan mengenai penolakan samannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan setiausaha eksekutif Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berhubung isu derma RM2.6 bilion.
  • KUALA LUMPUR - Umno memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula bekas ahli Wanita Umno Bahagian Langkawi, Anina Saaduddin yang mencabar Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 iaitu keputusan mana-mana parti tidak boleh dibawa ke mahkamah.
  • KUALA LUMPUR - Anina Saadudin hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membatalkan saman dikemukakan bekas ahli Wanita Umno Bahagian Langkawi itu berhubung pemecatannya daripada Umno.