TEMERLOH - Anak seorang anggota polis maut ditikam sepupu sendiri selepas berlaku pergaduhan dalam rumah di Taman Temerloh Makmur kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, mangsa Robiatul Ain Mahamod 27, maut selepas ditikam dipercayai dengan pisau dan gunting.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati, mangsa yang juga peniaga kedai makan pada mulanya bertengkar dengan suspek berusia 27 tahun di dalam rumah selepas mangsa mendakwa suspek menghisap dadah dan mencuri barang di dalam rumah.

"Rumah tersebut didiami mangsa bersama suami, adik mangsa dan suspek yang merupakan sepupu mangsa.

"Semasa kejadian hanya suspek dan mangsa sahaja berada di dalam rumah, suspek tidak berpuas hati lalu berlaku pergaduhan dan menikam mangsa.

"Hasil keterangan daripada saksi yang berada di hadapan rumah dan jiran mengatakan pada jam 9.30 malam mereka mendengar berlaku pergaduhan di rumah mangsa, jiran mangsa menghubungi telefon bapa mangsa yang sedang berada di hospital kerana bertugas," katanya.

Zundin berkata, apabila bapa mangsa bersama adik lelaki mangsa tiba di rumah didapati pintu hadapan berkunci dan telah memecahkan pintu hadapan.

Katanya, mangsa ditemui terbaring di ruang tamu dengan kesan tikaman dan berdarah lalu dibawa ke hospital Temerloh oleh keluarga mangsa tetapi telah disahkan meninggal dunia semasa rawatan.

Zundin berkata, polis menemui senjata sebilah pisau dan gunting yang dipercayai digunakan oleh suspek di hadapan rumah semasa siasatan dijalankan.

Menurutnya, suspek ditangkap polis di lokasi kejadian.

Zundin berkata, bapa mangsa adalah anggota polis berpangkat sarjan dan bertugas di Balai Temerloh.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Seorang wanita muda cedera ditikam oleh teman lelakinya dengan senjata tajam selepas berlaku pertengkaran kerana mahu memutuskan hubungan cinta di tepi jalan berhampiran Taman Serindit, Jalan Datuk Kumbar, di sini, semalam.
  • KUANTAN - Seorang penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Gebeng di sini, cedera di perut selepas dipercayai ditikam dua lelaki dalam kejadian samun di Jalan Pintasan Pelabuhan-Kuantan dekat Balok, malam semalam.
  • TAIPING - Seorang pekebun dipercayai maut selepas ditikam menggunakan senjata tajam dalam kejadian di Jalan Pengkalan, Sungai Kerang, Padang Gajah, di sini.
  • KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut ditikam dalam pergaduhan di pusat hiburan di Mount Kiara, dekat sini, awal pagi semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.