Polis kesan pemilik media sosial hina, bangkit sentimen benci pemain bola sepak

PDRM sedang mengesan pemilik akaun media sosial yang membuat serangan peribadi hingga membangkit kebencian terhadap pemain bola sepak tempatan. Gambar hiasan
PDRM sedang mengesan pemilik akaun media sosial yang membuat serangan peribadi hingga membangkit kebencian terhadap pemain bola sepak tempatan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan pemilik akaun media sosial yang membuat serangan peribadi hingga membangkit kebencian terhadap pemain bola sepak tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang remeh.

Menurutnya, kebelakangan ini dikesan hantaran dalam media sosial berupa serangan peribadi yang menyasarkan kepada individu pemain bola sepak.

"Itu telah menumbuhkan sikap kebencian yang berlebihan.

"Sampai ke laporan kita, kewujudan laman sosial berbentuk Facebook dan segala macam dan kemudian menyasarkan individu pemain bola kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Dadah Anjuran Kementerian Dalam Negeri di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isi kandungan hantaran itu sekadar bertujuan membangkitkan kebencian, menghina dan memperlekeh selain mengulas semua gerak geri pemain hingga setiap inci pergerakan serta cara merayakan jaringan gol.

Artikel Berkaitan:

"Kesimpulan akhir, pemilik media sosial itu adalah untuk membibit kebencian.

"Saya gesa hal itu segera dihentikan. Itu sangat tidak baik, dunia bola sepak negara kita masih kecil dan keutamaan sepatutnya dalam meningkatkan prestasi, wujudkan keadaan kondusif, menaikkan ranking dan ia sukan yang sangat popular," ujarnya.

Tegas Saifuddin, beliau percaya pihak polis akan lakukan tindakan seterusnya dan akan mengesan pemilik akaun media sosial terbabit.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim cedera selepas disimbah asid dipercayai oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Susulan itu, polis berjaya memberkas dua lelaki secara berasingan di Pandan Indah, Ampang dan Bangi pada Ahad serta Isnin lalu.

Media kemudian turut melaporkan kecederaan dialami tonggak utama Selangor FC, disahkan melecur tahap empat di beberapa bahagian di tubuhnya.

Sebelum itu, pada 2 Mei, pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid cedera selepas diserang dan disamun di hadapan sebuah apartmen di Kuala Terengganu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!