Leftenan Muda Mujahid komando terbaik kursus asas pertama tahun ini

Leftenan Muda, Ahmad Mujahid dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik bagi Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024.
Leftenan Muda, Ahmad Mujahid dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik bagi Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024.
A
A
A

SHAH ALAM - "Kalau kita tengok sudah beribu komando dilahirkan. Jadi, kalau mereka boleh, saya juga mampu." Demikian luahan Leftenan Muda, Ahmad Mujahid Siddiq Ahmad Rizal apabila dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik bagi Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024.

Menurut video yang dimuat naik Air Times News Network di YouTube, lelaki berusia 25 tahun itu tekad untuk mencabar diri menyertai kursus tersebut selepas terinspirasi dengan seorang jurulatih yang merupakan pegawai dari Gerup Gerak Khas (GGK).

Ahmad Mujahid ditemani ibu bapanya ketika menamatkan latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024.
Ahmad Mujahid ditemani ibu bapanya ketika menamatkan latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024.

"Saya mendapat inspirasi dengan dia (jurulatih) kerana semangat juangnya yang tinggi, ilmu-ilmu yang dia bagi sangat banyak dan saya juga ingin mencabar diri menjadi salah seorang anggota terbaik di antara yang terbaik.

"Fasa yang paling sukar dalam kursus ini ialah jalan jauh (long march) yang mana kami sebagai penuntut perlu berjalan sejauh 160 kilometer (km).

"Fasa ini memang menguji tahap fizikal dan mental, ramai penuntut yang kecundang dan tidak dapat menghabiskan kursus ini,” katanya menerusi perkongsian video tersebut.

Ahmad Mujahid memeluk ibunya sebaik tamat latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 dan dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik
Ahmad Mujahid memeluk ibunya sebaik tamat latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 dan dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik

Mengulas lanjut, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu berkata, kedua-dua ibu bapa menjadi sumber kekuatan buat dirinya untuk menempuh kursus selama tiga bulan.

Artikel Berkaitan:

“Kursus ini paling susah dalam Tentera Darat Malaysia (TDM). Waktu awal memang berat hati ibu dan ayah melepaskan anaknya untuk menyertai kursus ini tetapi selepas menjelaskan hasrat hati saya, Alhamdulillah ibu bapa mengikhlaskan untuk pergi.

“Kerjaya komando bukannya sesuatu yang mudah dan penuh dengan cabaran, jadi saya berharap mendapat semangat juang daripada rakan-rakan untuk membantu saya.

"Saya berharap doa ibu bapa mengiringi sepanjang kerjaya ini,” ujarnya.

Tangkap layar video yang dimuat naik Air Times News Network menerusi laman YouTube.
Tangkap layar video yang dimuat naik Air Times News Network menerusi laman YouTube.

Dalam pada itu, bapa Ahmad Mujahid yang juga pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu Pegawai Waran II (B), Ahmad Rizal Shazali, 55, menzahirkan rasa syukur apabila anak keduanya itu berjaya menyertai TDM dan kini bergelar seorang anggota GGK.

“Saya dan datuknya pesara tentera dan ibunya juga bekas tentera, jadi mungkin inspirasi dari kami yang bertugas dalam bidang ini.

“Saya memang harapkan ada penyambung legasi dalam keluarga kami,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!