Penunggang motosikal maut bergesel dengan lori

Tangkap layar video tular yang memaparkan kejadian kemalangan di Kilometer 13.9 Buttetworth-Kulim Ekspresway dari arah Kulim menghala Seberang Jaya pada Sabtu.
Tangkap layar video tular yang memaparkan kejadian kemalangan di Kilometer 13.9 Buttetworth-Kulim Ekspresway dari arah Kulim menghala Seberang Jaya pada Sabtu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori di Kilometer 13.9 Buttetworth-Kulim Ekspresway dari arah Kulim menghala Seberang Jaya di sini pada Sabtu.

Mangsa dikenali Irfan Azim, 19, berasal dr Kampung Surau Bakai, Kuala Ketil disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa yang datang dari arah Kulim menuju Seberang Jaya dipercayai bergesel dengan sebuah lori dari arah sama.

"Akibat kejadian itu, motosikal mangsa terbabas ke sebelah kiri jalan raya hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, ketika sedang menerima rawatan mangsa disahkan telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, tular video rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang memaparkan kejadian kemalangan ngeri terbabit termasuk keadaan mangsa yang tercampak ke atas besi penghadang di tepi lebuh raya.

Sebelum itu, mangsa dilihat tidak sempat mengelak lori terbabit yang secara tiba-tiba merapat ke kiri lorong kecemasan hingga menyebabkan motosikalnya terbabas.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, ketika kejadian lorong laluan motosikal di lebuh raya terbabit sedang dalam kerja-kerja penyelenggaraan.

Sementara itu, Helmi meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di talian 04-5301342 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kemalangan yang mengakibatkan kematian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!