Keputusan Najib berkaitan pelaburan syarikat tidak harus dipersoal

Najib Razak. Foto fail Bernama
Najib Razak. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini pada Selasa bahawa keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan pelaburan syarikta itu adalah sesuatu yang tidak harus dipersoal.

Shahrol Azral, 54, berkata demikian ketika disoal oleh peguamnya, Chong Yik Loong pada prosiding saman AS$1.18 bilion SRC International terhadap bekas Perdana Menteri itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.

Najib juga adalah pemegang saham tunggal SRC International dan penasihat emeritus syarikat itu pada masa yang material.

Yik Loong: Setakat yang anda ketahui, keputusan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengenai pelaburan itu adalah demi kebajikan negraa dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dipersoal?

Shahrol Azral: Setuju. Najib telah mengeluarkan satu minit yang begitu deskriptif (resolusi pemegang saham) mengenai perkara yang harus dilakukan oleh SRC International untuk melaksanakan hasrat beliau.

Tidak terlintas di fikiran saya untuk menyekat atau melambat-lambatkannya.

SRC, di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta.

Artikel Berkaitan:

Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok dan seorang lagi bekas Pengarah SRC International iaitu Che Abdullah@Rashidi Che Omar dijangka memberi keterangan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!