Hakim tarik diri rayuan bekas hakim mahkamah sesyen

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menarik diri pada Selasa, daripada mendengar rayuan akhir seorang bekas Hakim Mahkamah Sesyen terhadap hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 membabitkan kes rasuah.

Beliau yang mendengar rayuan itu, berbuat demikian kerana terlibat dalam prosiding kes pelucutan membabitkan bekas hakim, Azmil Muntapha Abas, 50, pada 20 Oktober 2023.

Ketika bersidang bersama dua hakim, beliau mengesahkan terlibat dalam pendengaran rayuan kes lalu.

"Saya telah membaca rekod rayuan kes ini (kes rasuah), namun terlepas pandang, maka saya tarik diri demi keadilan semua pihak,'' katanya.

Panel hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail kemudiannya menetapkan 7 Ogos depan untuk pendengaran rayuan Azmil Muntapha dan rayuan silang pendakwa raya.

Pada Selasa, mahkamah sepatutnya mendengar rayuan bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu itu dan rayuan silang pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 31 Julai 2023.

Ketika itu Hakim, Hasbullah Adam membenarkan rayuan Azmil Muntapha terhadap hukuman dan menjatuhi menjalani hukuman penjara sehari dan denda RM12,000.

Beliau mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 manakala sabitan Mahkamah Sesyen Shah Alam, dikekalkan.

Artikel Berkaitan:

Azmil Muntapha yang pernah bertindak sebagai koroner inkues siasatan kematian pembantu politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock, turut diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Pada 19 Oktober 2022, Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu dan memerintahkan Azmil Muntapha dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM6,000 kepada RM12,000.

Semasa prosiding, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud memohon Ahmad Zaidi menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan ekoran alasan yang sama dinyatakan hakim terbabit.

Beliau berkata, hakim itu terlibat dengan satu panel berlainan, dalam rayuan Azmil Muntapha dan seorang ahli perniagaan, Leong Peng Woon, 69, berhubung proses pelucuthakan wang RM182,100 yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 2019.

Menerusi rayuan itu, Azmil Muntapha dan Peng Woon gagal memperoleh semula wang betkenaan selepas panel hakim, menolak rayuan akhir mereka dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 April tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal mengesahkan perkara terbabit, bahawa panel rayuan pelucuthakan yang ketika itu diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), turut dianggotai oleh Ahmad Zaidi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Hakim Mahkamah Sesyen telah memperoleh untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai sebanyak RM5,000 daripada beberapa pihak.

Tertuduh mengetahui wang itu mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

Mereka ialah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) yang mana Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemuanya.

Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Setia Alam 2, dekat sini pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.