KUALA LUMPUR - Sebuah agensi swasta mencari pensyarah dan pelajar terletak di Shah Alam milik seorang wanita bergelar doktor didakwa terbabit dalam beberapa kes penipuan.

Difahamkan, mangsa membabitkan beberapa individu termasuk bekas pekerja, pelajar dan pensyarah.

Agensi ini dikatakan gagal memberikan bayaran yang dijanjikan walaupun perkhidmatan telah diberikan oleh mangsa-mangsa termasuk dalam penganjuran karnival pada April lalu serta penghasilan modul pendidikan.

Mangsa, Siti Badariah Jemain, 31, berkata, sebelum ini dia bekerja dengan agensi terbabit sebelum berhenti pada Januari lalu.

Menurutnya, pada masa itu, dia telah mendapat kepercayaan oleh majikannya (doktor) itu untuk mencari pensyarah dalam menghasilkan modul-modul pembelajaran.

"Sudah lebih 50 pensyarah dari universiti awam dan swasta telah saya dapatkan selepas dijanjikan untuk menghasilkan modul. Namun, selepas modul-modul ini disiapkan, dia (doktor) gagal memberikan bayaran yang dijanjikan.

"Kejadian itu menjadikan saya pula seperti yang berkomplot walaupun saya tidak tahu yang mereka akan ditipu," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Tambahnya, dia kemudian mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas tiga bulan bekerja.

Badariah berkata, malah dia turut membuat laporan dengan pejabat buruh kerana mendakwa gagal menerima komisyen yang dijanjikan oleh bekas majikannya itu selain turut membuat laporan polis semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Noraini Ishak, 54, berkata dia telah diminta oleh wanita terbabit untuk menjadi orang tengah dalam menguruskan sebuah karnival pendidikan di Shah Alam April lalu.

"Dia suruh saya mencari artis, deejay dan lain-lain di mana beliau akan membayar sejumlah RM13,000 atas perkhidmatan saya berikan. Namun, sehingga kini, pembayaran tersebut masih belum dijelaskan. Saya cuba menghubunginya banyak kali tetapi tidak berjaya," katanya.

Noraini berkata dia mengesyaki wanita terbabit menipunya apabila terdapat mangsa yang lain juga tampil ke hadapan.

Difahamkan rata-rata mangsa telah tampil membuat laporan polis dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk tindakan lanjut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.